BR1M bukan pancing undi

BR1M bukan pancing undi
SIJANGKANG - Dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Kerajaan Barisan Nasional sengaja memancing undi dengan memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah tidak benar.

Penyelaras Pembangunan Persekutuan Dun Sijangkang, Datuk Nordin Selamat berkata, bantuan itu diberi tanpa mengira fahaman politik khusus kepada golongan kurang berkemampuan untuk memajukan diri.

Menurutnya, BN telah mengotakan janji mereka membantu rakyat sejak memerintah negara selepas merdeka lagi dan terbukti dengan pembangunan ekonomi negara yang pesat.

“Pemberian BR1M adalah usaha berterusan kerajaan BN untuk membantu rakyat meskipun sebelum mahupun selepas pilihan raya.

“Penerima wajar berterima kasih kepada Perdana Menteri (PM) yang mengilhamkan idea bantuan ini” katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan baucar RM500 kepada 1,269 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, di sini.

Nordin berkata, seramai 128 penerima baucar tidak dapat hadir pada penyampaian berkenaan dan BN akan memastikan setiap bantuan yang disediakan untuk rakyat perlu sampai kepada penerima.

“Rata-rata mereka (penerima) yang memperoleh bantuan tersebut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada PM kerana prihatin terhadap rakyat,” katanya.
@sinarharian.com.my