CEO Royal Bank of Scotland tolak bonus RM4.8 juta

CEO Royal Bank of Scotland tolak bonus RM4.8 juta
LONDON - Ketua Eksekutif Royal Bank of Scotland, Stephen Hester menolak bayaran bonus hampir £1 juta (RM4.8 juta), lapor BBC.

Editor Bisnes, Robert Peston berkata, Hester tidak akan menerima £963,000 yang hanya ditawarkan kepada beliau.

Menurut Peston, beliau tunduk kepada "tekanan besar politik dan media" meskipun lembaga bank menggesanya agar melawan.

Menteri Kewangan George Osborne berkata, keputusan Hester mahu memfokus usaha mendapatkan balik berbilion pound demi kepentingan pembayar cukai adalah sesuatu yang "dialu-alukan."

Terdahulu, parti Buruh berkata, ia akan memaksa satu pengundian berkenaan isu tersebut selepas Perdana Menteri David Cameron enggan menghalang bonus daripada bank yang sebahagian besarnya adalah milik awam.

Menurut Peston, lembaga menggesa Hester agar melawan sebab ia meraskaan beliau layak menerima bonus kerana telah membantu bank berkenaan berubah menjadi sebuah badan yang kurang berisiko.

Mengulas keputusan Hester, Ahli Parlimen Buruh, Chris Bryant berkata, ia hanya satu contoh kewujudan masalah yang lebih besar.

"Jika ia dibahaskan di Parlimen, sudah pasti sukar baginya menerima wang itu," kata beliau.

"Dan, kini ada keperluan untuk berdebat di Parlimen, bukan mengenai bonusnya, tetapi mengenai keseluruhan budaya bayaran bonus dan saraan dalam perkhidmatan kewangan," kata beliau lagi.

Hester dilantik sebagai ketua eksekutif akhir 2008 untuk menggantikan Sir Fred Goodwin, selepas bank itu terpaksa diselamatkan oleh kerajaan, yang kini memiliki 82 peratus pegangan.
@sinarharian.com.my