Kempen 901: Azmin ketuai PKR jumpa polis esok

AZ
SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR Azmin Ali akan mengetuai delegasi parti itu untuk mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur esok berkenaan perhimpunan di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, 9 Januari ini.

Kenyataan dikeluarkan Azmin petang ini menyebut pertemuan itu akan diadakan di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur, pagi esok.

Dalam satu kenyataan pagi tadi, Azmin berkata PKR bersedia untuk berbincang dengan pihak polis demi memastikan perhimpunan Bebaskan Anwar 901 dapat diteruskan dengan aman dan teratur.

Sehubungan itu, Azmin menyeru semua anggota parti dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) serta rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran untuk berhimpun secara aman dan menyatakan sokongan terhadap reformasi demi rakyat dan negara Malaysia yang tercinta.

"Oleh itu, saya menyambut baik kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara yang memperlihatkan kesediaan pihak polis untuk berbincang dengan PKR dan Pakatan Rakyat bagi menjamin kelancaran perhimpunan aman 901 untuk membantah rekayasa politik ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Azmin.

Semalam, Hishammuddin berkata sebarang demonstrasi jalanan tidak akan mengubah mana-mana keputusan mahkamah.
@sinarharian.com.my