Mahathir: Debat Najib-Anwar tak perlu

Tun Dr Mahathir Mohamad
ALOR SETAR - Debat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu diadakan kerana tidak mengubah pendirian masing-masing, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri berkata, debat hanya diadakan sekiranya Anwar sependapat dengan kerajaan.
“Kita sudah maklum pendirian Anwar, buat apa nak debat. Beliau sudah bercakap di merata tempat. Jika kita kata benda itu betul dan dia mengaku dan ikut, baru kita debat,” katanya selepas program Bicara Tokoh di sini, semalam.

Menurutnya, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat sudah lama memburukkan negara di peringkat antarabangsa dan masyarakat tidak perlu mendengar pendebatan seperti itu.
“Dia nak tunjuk bengis sahaja. Kerja dia hanya mahu burukkan imej negara. Orang nak lawan kita tu pun kita kenal lama dah, tak payahlah,” katanya.

Ditanya sama ada pihak menyokong debat mahu melihat transformasi politik baru dalam negara, Dr Mahathir berkata, rakyat negara ini sudah menetapkan minda mereka dengan situasi politik sedia ada dan sukar menerima perubahan itu.
Beliau mengulas pandangan Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian agar Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang mengadakan satu debat terbuka berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.
Menurut Ibrahim, maklumat yang dikumpulkan hasil perbincangan kumpulan berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka berminat untuk melihat satu debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.
"Maklumat ini, kami peroleh hasil perbincangan dengan kumpulan profesional Melayu baru-baru ini, mereka mahu kedua-dua Anwar dan Najib mengadakan debat, membincangkan isu-isu yang besar, isu rakyat dan isu negara... bukannya isu-isu peribadi tetapi lebih kepada kepentingan rakyat.
"Saya nampak seolah-olah ada satu perubahan dalam kehendak dan keinginan di kalangan rakyat, mereka mahu satu budaya baru, diadakan debat (seperti di negara-negara lain), daripada kempen memburuk-burukkan satu sama lain," kata Ibrahim.
Bagaimanapun, dalam reaksinya Umno berpendapat bahawa cadangan debat terbuka antara Najib dan Anwar bagi membincangkan beberapa isu dianggap tidak sesuai untuk dilaksanakan.
Ketika dihubungi Sinar Harian semalam, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, budaya debat adalah budaya Barat yang masih belum boleh diterima di negara ini.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalu-alukan idea agar diadakan satu debat terbuka antara Najib dan Anwar kerana pendekatan sedemikian perlu bagi menyuburkan budaya membahas dan membincangkan isu-isu menyentuh kepentingan rakyat dari semasa ke semasa secara konstruktif, membabitkan pemimpin-pemimpin negara.
Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, jika idea itu menjadi kenyataan, ia pastinya akan menjadi satu lembaran baru arena politik negara ini.
@sinarharian.com.my