Nga Kor Ming Saman Blogger RM10 Juta

Nga Kor Ming Saman Blogger RM10 Juta

IPOH – Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming hari ini menfailkan saman menuntut ganti rugi am berjumlah RM10 juta terhadap seorang blogger ”Sekupangdua”, Ahmad Sofian Yahya kerana menulis dan memaparkan satu artikel yang didakwa menfitnahnya.
Writ saman itu difailkan pada 11.30 pagi tadi melalui peguamnya Leong Cheok Keng, Augustine Anthony dan Nga Hock Cheh dari Tetuan Leong & Tan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dan meminta defendan mengemukakan maklum balas dalam tempoh 14 hari daripada tarikh ia difailkan.
Dalam writ saman itu, plaintif turut menuntut satu injuksi bagi menghalang defendan atau ejen dan pekerja defendan daripada menulis, menerbit serta atau memaparkan perkataan, kenyataan, tulisan berunsur fitnah dalam blog ”Sekupangdua” ataupun dalam apa jua cara yang menyentuh plaintif atau anggota keluarganya.
Mengikut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 16 Disember lepas, defendan telah menulis dan menerbitkan satu artikel yang mengandungi fitnah terhadapnya menerusi artikel bertajuk ”Panas! Bongkar Nga Komeng dan Pakatan Rakyat Menyamun” serta memaparkan atau menyebabkan artikel itu dipaparkan dalam blog berkenaan bertujuan merosakkan, merendahkan dan memusnahkan nama baiknya di kalangan rakyat Malaysia.
Kor Ming turut mendakwa artikel itu telah dibaca, muat turun dan diedarkan dengan liputan yang luas sehingga plaintif diminta menjelaskan kesahihan dan kebenaran artikel berkenaan oleh wartawan media arus perdana, media online, anggota parti DAP-PKR-Pas, pengundi dan rakyat Malaysia.
Berdasarkan permintaan serta tuntutan wartawan, anggota dan pemimpin gabungan parti politik DAP-PKR-Pas, pengundi serta ramai rakyat negara, plaintif tidak boleh membiarkan artikel tersebut tanpa menafikan, memperjelaskan kesahihan serta kebenaran artikel tersebut kepada kesemua pihak berkenaan.
Kandungan artikel itu dan perkataan-perkataan yang terkandung di dalam artikel itu adalah berunsurkan fitnah dan difahami merujuk kepada plaintif, dakwanya.
Plaintif menyatakan namanya mempunyai bunyi sama dengan ”Nga Komeng” serta perkataan di dalam artikel tersebut mempunyai makna biasa dan semula jadi adalah bermaksud dan difahami sebagai merujuk kepadanya sebagai seorang yang tidak jujur dan amanah, penyamun harta rakyat Malaysia, menyalahgunakan kuasa sebagai seorang ahli Exco kerajaan negeri semasa urus tadbir negeri Perak, seorang pemimpin yang korup dan munafik, tidak layak menjadi Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Perak atau memegang sebarang jawatan awam dan hipokrit.
Artikel itu adalah fitnah semata-mata kerana plaintif tidak pernah berlaku secara tidak amanah, menyalahgunakan kuasa dan tidak pernah campur tangan dalam urusan pemberian tender Majlis Bandaraya Ipoh untuk memihak kepada mana-mana pihak lebih-lebih lagi isterinya sendiri, dakwanya.
Defendan juga didakwa membuat satu laporan kononnya salah guna kuasa yang dilakukan oleh plaintif kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi tekanan berterusan kepada plaintif.
Plaintif yang juga Ahli Parlimen Taiping menerusi peguam caranya telah menghantar satu surat tuntutan bertarikh 28 Disember 2011 kepada defendan supaya meminta maaf rasmi dan membayar ganti rugi kepada plaintif namun defendan enggan berbuat demikian malah dengan angkuh melanjutkan dan meneruskan fitnah serta sindiran di dalam blog berkenaan.
Kor Meng turut mendakwa akibat daripada fitnah bertulis yang palsu dan dibuat serta diterbitkan secara niat jahat, beliau telah hilang maruah dan reputasi serta mengalami tekanan mental yang teruk di samping karakter, reputasi serta jawatannya telah dicalar dengan serius.
Plaintif menyatakan defendan mempunyai niat jahat di dalam menulis dan menerbitkan artikel itu dengan tujuan menghancurkan dan memusnahkan nama baiknya, kerjaya politik dan segala karier politiknya di masa depan akan terus musnah.
Selain itu, Nga yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Pantai Remis turut menuntut defendan menyiarkan satu pernyataan mohon maaf bertulis kepada plaintif dalam tiga akhbar arus perdana berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina serta di dalam blog ”Sekupangdua”.
Selain ganti rugi am berjumlah RM10 juta itu, plaintif turut menuntut ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan yang jumlahnya difikirkan sesuai oleh mahkamah di samping faedah, kos dan lain-lain relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu dalam sidang media berasingan, Ahmad Sofian berkata beliau tidak akan menarik balik kenyataannya serta tidak akan memohon maaf kepada Nga walaupun berdepan dengan tindakan saman.
“Hari ini juga saya mahu Kor Ming menarik balik tuduhan beliau yang keluar dalam portal berita Malaysiakini bertarikh 19 Disember yang menuduh saya mempunyai rekod mengada-adakan bukti serta memalsukan dokumen,” katanya sambil memberi tempoh 48 jam untuk Kor Meng memohon maaf dan menarik balik kenyataan berkenaan atau berdepan dengan tindakan saman olehnya. – BERNAMA