Perkasa sedia tempur Bebas Anwar 901


Ibrahim Ali
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyekat perarakan gerakan Bebas Anwar 901, Isnin depan.
 
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, mereka memulakan misi mempertahankan keamanan negara selepas menunaikan solat Subuh di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum berarak sehingga ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
 
“Kami tunai solat sunat berjemaah dan berdoa ALLAH SWT memberi kekuatan kepada pejuang ini. Selepas itu, kami berarak dan sekiranya bertembung dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan penyokong mereka yang sanggup mempertahankan pemimpin yang menghadapi masalah moraliti, kita sama-sama melakukan provokasi,” katanya.
 
Mengenai tindakan bakal diambil pihak berkuasa, katanya, terpulang kepada polis untuk menghalang Perkasa atau pembangkang kerana kedua-duanya melakukan perhimpunan haram.
 
“Kami menegakkan keamanan, itulah kekuatannya dan mereka pula hendak meruntuhkannya, sebaliknya menaikkan pemimpin yang mempunyai masalah moral. Tidak perlu saya perjelaskan siapa (Ketua Pembangkang, Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang merupakan bekas sahabat di universiti dan berjuang bersama-sama,” katanya.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, mahasiswa terlibat gerakan Bebas Anwar 901 termasuk melakukan provokasi di depan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), 1 Januari lalu sebagai tidak bermaruah kerana membenarkan diri dipergunakan parti politik.
 
Ibrahim berkata, penuntut­ berjuang kerana Anwar seper­ti era 70-an, adalah perjuangan­ lapuk.
 
“Pada ketika itu, sebagai mahasiswa berjuang kerana negara berada dalam kemiskinan berikutan kejatuhan harga komuniti di pasaran dunia, rasuah, ancaman komunis dan jurang pendapatan antara kaum begitu ketara.
 
“Tetapi sekarang, mereka menjadikan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) sebagai kambing hitam. Itu isu remeh kerana kerajaan membuka ruang untuk berbincang. Jika mereka hadir, bererti penuntut itu tidak berminat berjuang untuk Auku sebaliknya kerana Anwar,” katanya.

@sinarharian.com.my