PKR bidas cara polis surai demo di Upsi

PKR bidas cara polis surai demo di Upsi
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam kekerasan pihak polis ke atas sekumpulan mahasiswa di pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) awal pagi tadi dengan mendakwa pentadbiran Najib tidak ada iltizam politik untuk melaksanakan transformasi yang diwar warkannya.
"Kejadian awal pagi tadi menjadi saksi bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ada iltizam politik untuk melaksanakan transformasi yang diwar warkannya," kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini, Azmin berkata, transformasi yang diumumkan Perdana Menteri tidak lebih dari kosmetik politik bertujuan mengaburi rakyat dari kenyataan yang sebenar bahawa pentadbiran beliau sebenarnya lemah serta tidak berdaya mengotakan janji yang dibuat.

Ahli Parlimen Gombak ini menambah, hasrat untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan memastikan kebebasan kepada mahasiswa kini dilihat tidak lebih sekadar omongan kosong.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya menuntut agar siasatan berkaitan kekerasan terhadap mahasiswa awal pagi ini dijalankan segera.

"Mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan kekerasan terhadap mahasiswa ini mesti dihadapkan ke muka pengadilan.

"Kita juga menuntut agar pihak polis dan Menteri Dalam Negeri memohon maaf kerana kekerasan keterlaluan yang dilakukan," kata beliau sambil menambah,

"kita juga berhasrat mengulangi pendirian PKR dan Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Auku serta iltizam demi memastikan kebebasan akademik terlaksana."

Katanya, "memasuki tahun 2012 kita dikejutkan dengan berita bahawa seramai 17 mahasiswa ditahan dan dua mahasiswa telah dipukul pihak polis di UPSI."

Sementara itu menerusi kenyataan berasingan Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya mengecam tindakan polis termasuk FRU untuk meleraikan perhimpunan aman mahasiswa di hadapan universiti itu secara ganas pada awal pagi ini.

Dalam kenyataannya beliau berkata, difahamkan kira-kira 100 orang mahasiswa berhimpun di hadapan UPSI semalam sebagai bantahan kepada Auku serta mendesak pusat pengajian tinggi itu menarik balik tindakan terhadap Adam Adli.

Adam merupakan penuntut UPSI yang mendapat perhatian meluas apabila menggantikan bendera yang tertera gambar Perdana Menteri dengan panji kebebasan akademik.

Menurut Nik Nazmi, pihak polis termasuk dua trak FRU dan pegawai Cawangan Khas hadir beramai-ramai dan pada pukul 2.30 pagi, bertindak ganas apabila mahasiswa enggan bersurai.

"Salah satu mahasiswa tersebut, Muhammad Safwan Anang dipukul oleh lapan orang pegawai polis dan Cawangan Khas sebelum beliau dilarikan oleh rakan-rakannya ke Hospital Slim River. Beliau mula-mulanya koma dan mengalami tulang pipi yang patah sebelum beliau akhirnya sedar diri," katanya dalam kenyataan dikeluarkan awal pagi tadi.

Sehingga kini difahamkan kira-kira 17 mahasiswa termasuk Adam telah ditangkap oleh pihak polis.

Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Seri Setia ini menambah, tindakan polis pada hari ini jauh berbeza dengan tindakan mereka ketika perarakan mahasiswa ke PWTC yang berkesudahan dengan berkibarnya panji kebebasan akademik.

"PKR berharap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara dapat segera tampil memberikan penjelasan. Keganasan ini membuktikan ucapan Hari Malaysia Perdana Menteri dan agenda transformasinya tidak membawa sebarang makna," katanya.
@sinarharian.com.my