PKR masih serang badan kehakiman

ALOR SETAR - PKR masih menganggap keputusan mahkamah yang membebaskan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat, Isnin lalu belum membuktikan badan itu bebas sepenuhnya.

Timbalan Presidennya, Azmin Ali mendakwa masih ada hakim-hakim yang berat sebelah dalam kes-kes tertentu contohnya seperti kes membabitkan Datuk V.K Linggam.

"Keputusan 9 Januari lalu tidak membuktikan mahkamah kita bebas walaupun Anwar telah bebas," katanya pada ucapan pembukaan Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) Ketiga di sini, pagi ini.

Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor menyuarakan keyakinan tinggi bahawa PR akan berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

"Sekarang PR bukan bercakap mengenai cubaan menafikan dua pertiga kerusi Parlimen Barisan Nasional (BN) tapi bercakap mengenai merampas kerajaan pusat.

"Dalam hal ini kami yakin mampu kerana PKR tidak keseorangan kerana ada Pas dan DAP dalam PR," katanya.

Konvensyen PR kali ini dianggap paling penting kerana buat pertama kalinya tiga parti komponen mengisytiharkan manifesto bersama sempena pilihan raya.
Azmin juga berkata, negara sedang berdepan dengan krisis keyakinan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang gagal melaksanakan transformasi politik dan ekonomi.
Justeru katanya, rakyat mahu "Malaysia Tanpa Umno", dan PR bersedia untuk menggalas amanah itu melalui Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Buku Jingga.
"Pakatan Rakyat sudah bersedia menggalas harapan rakyat yang cintakan kebebasan. Kebebasan adalah fitrah manusia," katanya lagi.
Dalam ucapannya, Azmin juga berkata, konvensyen hari ini  adalah pecutan terakhir menjelang PRU13 dan PR perlu bersedia untuk menggalas aspirasi rakyat yang menuntut sebuah negara Malaysia yang adil dan sejahtera untuk semua rakyat.
"Justeru itu, kita bertanggungjawab untuk bersihkan Malaysia daripada 'gutter politics' dan amalan kronisme serta amalan membudayakan rasuah yang diterajui oleh Umno.
"Pakatan Rakyat perlu memimpin rakyat maju ke hadapan dengan persaingan dasar kepedulian rakyat dan mengangkat martabat rakyat Malaysia," katanya.
Tambah Azmin, rakyat sudah tidak sabar lagi untuk melihat pemerintahan demokrasi tulen di Putrajaya berteraskan 'rule of law' dan Perlembagaan Persekutuan.
"Rakyat mahu Putrajaya diterajui oleh pemimpin yang bersih dan menyayangi rakyat tanpa mengira ras, agama atau warna kulit.
"Rakyat mahu Pakatan Rakyat segera membanteras rasuah, menghapuskan keborosan dan ketirisan yang akan memufliskan Malaysia menjelang 2020," katanya lagi.
@sinarharian.com.my