SAH! 'BOBOI' SERTAI UMNO

Sah! Afdlin Shauki Sertai UMNO

KUALA LUMPUR – Penghibur terkenal, Afdlin Shauki hari ini mengesahkan yang beliau menyertai UMNO bersama rakan lawaknya dari kumpulan Boboi, Harun Salim Bachik.
Afdlin yang baru memenangi tempat kedua Maharaja Lawak Mega (MLM) bersama Harun berkata, keputusan untuk mereka menyertai UMNO adalah disebabkan untuk memberi kesedaran kepada golongan muda tentang sebuah kerajaan yang diketuai oleh parti itu yang telah banyak berjasa kepada perjuangan agama, bangsa dan negara.
“Saya sebenarnya sudah menyokong UMNO sejak umur saya sudah boleh mengundi, namun sekarang saya rasa saya tak perlu sembunyikan lagi sokongan saya.
“Saya menyertai UMNO untuk menunjukkan sokongan saya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, yang bersungguh-sungguh di dalam program transformasinya membetulkan apa yang perlu diperbetulkan.
“Kami penyokong tegar UMNO,” kata Afdlin Shauki, menjelaskan tujuan sebenar mereka menyertai UMNO pada sidang akhbar khas tersebut.
Afdlin  berharap agar tindakannya menyertai UMNO akan menjalin kerjasama erat antara kerajaan Barisan Nasional dengan para artis.
“Saya percaya dengan perjuangan dan usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri kita terutama sekali untuk industri seni tanah air kita dan memerlukan suara politik yang kuat untuk melihat masalah dalam industri seni,” katanya lagi.
Menurut beliau, mereka berdua akan cuba memperjuangkan dan memberi sokongan terhadap parti ini serta bersama-sama mendidik remaja hari ini melalui cabang seni agar dapat memberikan impak kepada parti UMNO sendiri dan masyarakat.
Apabila ditanya tentang tanggapan peminat setia terhadap pembabitan politik mereka, dari awal lagi sudah difikirkan semasak-semasaknya dan mereka harus berani untuk menerima apa sahaja kemungkinan terjadi.
“Kami sudah bersedia untuk berhadapan dengan perkara itu (tanggapan peminat)…mereka punya hak sendiri untuk befikir dan janganlah kami dipolitikkan,” tegas Afdlin.
Penyertaan kedua karyawan seni tanahair itu disambut baik Datuk Abd. Raof Yusof yang juga merupakan Ketua Bahagian UMNO Bukit Bintang dan beliau mengalu-alukan agar ramai lagi penggiat seni untuk sama-sama menyertai parti politik Melayu terbesar itu.
Dalam pada itu, Harun yang juga merupakan Presiden Seniman berkata, beliau sememangnya menyokong UMNO dari dulu dan bangga untuk membantu memberikan sokongan kepada kepimpinan kerajaan sedia ada melalui bidang seni hiburan.
“Kehadiran kami sebagai tanda sokongan usaha-usaha kerajaan khususnya UMNO dalam membentuk satu kerajaan yang adil dan saya tidak langsung teragak-agak untuk menyerahkan borang penyertaan ini,” katanya.
Sebelum ini pelakon Bob Lokman juga memilih platform politik tetapi di dalam parti Pas.
Ironinya, kedua-dua mereka iaitu Bob dan Afdlin pernah berkerjasama dan menjadi juri dalam pertandingan Raja Lawak yang pernah disiarkan oleh Astro.
Pada 14 Oktober lalu seramai 10 artis semalam menyerahkan borang keahlian menyertai Pergerakan Pemuda UMNO.
Mengetuai penyerahan borang keahlian kepada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di pejabat Pemuda UMNO di sini ialah Timbalan Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.
Antara yang menyertai pergerakan itu ialah Rashdan Baba, Ezani Nizarif dan Haris Kool dan penyanyi Adam AF.
Media sebelum ini juga pernah melaporkan Datuk AC Mizal dan isterinya Datin Emylia Rosnaida menyertai UMNO Perak.
Selepas itu pengarah filem, Mamat Khalid turut dilaporkan media akan menyertai UMNO Bahagian Gopeng
@mynewshub.my