Dr M: Saya sudah lama mahu dedah surat kepada PM Israel

MAHATHIR
KOTA SAMARAHAN - Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sudah lama berniat mahu mendedahkan isi kandungan perutusan surat kepada bekas Perdana Menteri Israel Ehud Barak ketika memegang tampuk pemerintahan negara.

Dr Mahathir berkata hasrat berkenaan ingin dilakukan beliau semasa menulis buku memoir "A Doctor In The House" namun atas sebab tertentu kerajaan melarang beliau daripada berbuat demikian.

"Saya memang mahu dedahkan isi kandungan surat kepada Israel itu dalam buku terbaru saya, tapi atas sebab tertentu kerajaan menghalang hasrat itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah "Patriotisme dan Politik" di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata beliau bagaimanapun berterima kasih kepada kerajaan kerana bersetuju untuk mendedahkan kandungan surat itu minggu hadapan dan berharap ia dapat memperbetulkan sangkaan buruk yang dilontar pihak tertentu terhadapnya ketika ini.

Beliau berkata pelbagai tuduhan buruk dilemparkan kepadanya sejak akhir-akhir ini berhubung dakwaan pembangkang yang cuba mengaitkannya dengan Israel.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata kerajaan akan mendedahkan isi kandungan perutusan surat antara Dr Mahathir dan Barak awal minggu depan.

Najib berkata surat itu menunjukkan keprihatinan Dr Mahathir dalam proses kedamaian di Timur Tengah dan isi kandungannya juga menepati dasar kerajaan Malaysia dari dahulu hingga sekarang.

Perdana Menteri berkata berkata isu surat itu dimanipulasikan oleh pihak pembangkang yang sengaja mahu membangkitkan rasa sangsi rakyat terhadap pendirian kerajaan sekaligus mahu mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan terhadap Israel.
@sinarharian.com.my