Lawatan Najib ke Thaipusam tidak gadai akidah

najib-thaipusam
KUALA LUMPUR –Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menempelak pihak yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggadaikan akidah kerana melawat Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves semasa perayaan Thaipusam lalu.

Beliau berkata, perkara itu sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan kebencian terhadap Najib sebagai pemimpin Islam dan beliau kecewa kerana ia dilakukan oleh umat Islam sendiri.

Menurutnya, perkara ini tidak timbul kerana Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan telah memberi garis panduan mengenai hukum ketika beliau berada di kawasan berkenaan.

“Najib tidak terlibat dalam upacara keagamaan dan acara yang dianjurkan, justeru, tidak timbul soal akidahnya. Beliau (Najib) telah mengikut garis panduan yang ditetapkan. Beliau tahu mana yang boleh dan mana yang tidak.

“Ini yang merosakkan agama (Islam) apabila umatnya sendiri sanggup menuduh dan membuat pelbagai dakwaan berniat jahat semata-mata tidak sehaluan dengan pemimpin negara,” katanya semasa memberi ucapan dalam Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012, semalam.

Menurut Jamil Khir, Najib telah mengikut nasihat pakar dan ulama melalui susun atur perjalanan majlis dengan berada di dalam dewan untuk menerangkan program kerajaan kepada masyarakat India beragama Hindu.

Menjawab mengenai pakaian 'purta' yang dipakai Najib, beliau berkata, ia adalah kostum kebudayaan orang India dan bukan ‘pakaian agama Hindu’.

“Kalau lelaki India pakai baju Melayu dalam majlis, itu tidak bererti mereka telah masuk Islam dan menjadi orang Melayu. Sama juga yang berlaku pada Najib, beliau tetap orang Islam,” katanya.

Sekiranya yang dilakukan Najib boleh dianggap menggadaikan akidah, kata Jamil Khir, perkara yang sama perlu diajukan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila bertemu dengan penganut agama lain di kuil dan pada masa yang sama menghulurkan sumbangan wang.

“Tidak pula kita kata pemimpin itu (Nik Aziz) gadai akidah kerana berada di kuil. Pokok utamanya, perkara ini menjelaskan mengenai kelemahan umat Islam apabila bercakap mengenai perpaduan. Saya sedih apabila ada pemimpin Islam diberi ugutan kerana cuba membawa konsep perpaduan dan lebih suka melihat sesama kita terus berpecah-belah.

“Begitu juga apabila umat Islam mementingkan agenda politik untuk menawan Putrajaya daripada menyelesaikan masalah akidah, perpaduan, Islam dan apa yang berlaku di Palestin,” katanya.

Menurut Jamil Khir, umat Islam lemah perlu mengetepikan pendapat, sebaliknya merujuk kepada pakar dan ulama serta tidak menjadikan laman sesawang sebagai hukum-hakam untuk kehidupan seharian.
@sinarharian.com.my