Menantu Nik Aziz syukur bersih siasatan SPRM

Abdul Ariffahmi Abd Rahman
KOTA BHARU – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Ariffahmi Abd Rahman bersyukur kerana nama beliau dibersihkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari tuduhan rasuah.

Beliau yang juga menantu kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, panel siasatan menyatakan kes siasatan itu ditutup sekali gus membersihkan namanya daripada tuduhan menyalahgunakan kuasa semasa berada di PMBK.

Susulan itu katanya, beliau dihubungi ramai rakan sebagai maklum balas kepada keputusan yang dibuat SPRM selepas siasatan kes menyalahgunakan kuasa berlangsung sejak 2009.

“Saya ingin menyatakan setinggi-tinggi syukur kehadrat ALLAH SWT kerana telah membebaskan saya daripada tuduhan penyalahgunaan kuasa yang disebarkan, seterusnya membersihkan nama saya dari persepsi negatif semenjak kes ini berjalan.

“Sememangnya siasatan kes ini memakan masa yang agak panjang, semenjak September 2009 dan melibatkan banyak pihak yang bersangkutan. Alhamdulillah saya sentiasa tenang dalam menempuh dugaan ini,” katanya, hari ini.

SPRM pada hujung 2009 membuka kertas siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam PMBK membabitkan Abdul Ariffahmi sementara  Nik Abdul Aziz pula disiasat atas pengakuannya bahawa beliau dan keluarga menerima tajaan haji bernilai RM65,000.

Ariffahmi berkata, faktor politik terutama musuh Pas khususnya suasana menjelang pilihan raya umum antara punca yang menyebabkan beliau dituduh melakukan ativiti negatif tersebut.

Katanya, keputusan terbaru itu secara langsung membunuh segala persepsi negatif hasil dari adu domba dan gelombang fitnah terancang oleh pihak tertentu ke atas beliau.

Ariffahmi turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama  Nik Abdul Aziz dan kedua-dua bonda di atas doa berterusan untuk kesejahteraan beliau sekeluarga.

“Saya sentiasa yakin bahawa saya berada di pihak benar. Apa yang berlaku selama ini mematangkan saya dalam menempuh kehidupan pada masa hadapan,” katanya.
@sinarharian.com.my