Perkasa: 'Pas dan Umno perlu bersatu'

wacana11
SHAH ALAM – Pemimpin Perkasa menegaskan bahawa kerjasama politik Pas dan Umno, yang menjadi topik perbincangan sejak pilihan raya umum 2008, sangat penting bagi menjamin kesepaduan dan masa depan orang Melayu.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kasim berkata, perpecahan di kalangan orang Melayu ketika ini memang berlaku, tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk tidak bersatu.

“Mengapa Pas boleh bersatu dengan DAP yang jelas tidak memperjuangkan akidah yang sama dalam perjuangan parti tetapi Umno yang memperjuangkan akidah yang sama, Pas tidak mahu bersatu?

“Perbezaan yang wujud bukan untuk berpecah belah tetapi untuk meraikan perbezaan itu,” katanya ketika menjadi panel Wacana Sinar Siri Ke-11 bertajuk "Mengapa Undi Melayu Pecah" petanng ini.
Ruslan menambah, rakyat Malaysia perlu mengakui sejarah negara terutamanya pada 1946 apabila seluruh rakyat tidak mengira kaum dan semua badan bukan kerajaan (NGO) bersatu menentang Malayan Union.
Katanya, kesepaduan ini telah menjadi satu visi untuk membentuk kesepaduan rakyat ketika ini.
Soal idea kerjasama perpaduan telah berulang kali diketengahkan oleh banyak pihak termasuk oleh Mufti Perak.
Pas menegaskan pihaknya akan meneruskan kerjasama dalam perikatan Pakatan Rakyat (PR), yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum 2008, bukannya bersaam Umno dengan merujuk kepada pengalaman 1970-an.
Umno, parti teras Barisan Nasional (BN), berulang kali berkata pihaknya berminat untuk mengadakan perbincangan dengan Pas bagi mengadakan kerjasama politik.
@sinarharian.com.my