‘Saya pun ada bukti salah laku pemimpin Pakatan’

Hasan Ali
SHAH ALAM - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menggesa Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai bukti penyelewengan dan salah laku melibatkan beliau.
Menurutnya, beliau sendiri tidak mengetahui bentuk penyelewengan yang didakwa Azmin sebagai rahsia yang kini berada dalam tangan Pakatan Rakyat (PR).
Sebaliknya, Hasan mendedahkan beliau juga mempunyai bukti-bukti kukuh berhubung salah laku pemimpin PR, menerusi pemberi maklumat dalam gabungan tersebut.
"Bukan niat saya untuk mengaibkan sesiapa, tetapi andainya saya ditolak ke dinding, barangkali maklumat-maklumat tersebut boleh dijadikan senjata ampuh mempertahankan diri.
"Ini kerana sesetengah daripada maklumat tersebut boleh mengundang keaiban kepada individu dan parti," kata beliau dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Azmin mempunyai rahsia berkaitannya dan akan dedahkan kepada rakyat sekiranya Hasan terus menyerang kepimpinan PR.
Hasan berkata, sebagai ahli politik, beliau tidak mampu mempetahankan diri daripada serangan dan fitnah kerana ia perkara biasa dalam dunia politik.
Menurutnya, beliau masih mempunyai rekod baik sepanjang 15 tahun berada dalam dunia politik termasuk dalam perkara fitnah-memfitnah.
"Mungkin ada yang mengatakan bahawa saya angkuh. Tetapi, inilah realitinya. Setakat yang saya ingat, belum ada laporan polis atau siasatan SPRM ke atas saya.
"Tetapi tidak tahulah waktu mendatang kerana saya bersama teman-teman dilihat terlibat dalam program dalaman dan bagi setengah golongan menganggapnya sebagai menentang arus," katanya yang memulakan siri jelajah penerangan selepas dipecat oleh Pas pada 8 Januari lalu.
Ekoran keputusan Pas itu, beliau digugurkan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Beliau mempunyai masa 30 hari untuk membuat rayuan.
@sinarharian.com.my