TPM dakwa Anwar mungkin cuba bawa pengaruh Yahudi


KOTA BAHARU - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong usaha menjaga keselamatan Israel, cubaan membawa campur tangan Yahudi dan Amerika Syarikat dalam politik Malaysia.


Beliau berkata mungkin ada kebenarannya apabila Majlis Bekas-bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) menganggap kenyataan Anwar itu sebagai cubaan memancing kuasa Yahudi dalam pilihan raya umum ke-13.


"Itu kenyataan MUBARAK, mungkin ada kebenarannya. Soalnya sehingga hari ini, Anwar tidak dapat menjelaskan keadaan sebenar dan pihak Pas, parti dalam pakatan pun mempertikaikannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Negeri Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Peringat dekat sini, hari ini.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian ketika diminta mengulas Ketua Penerangan MUBARAK Datuk Abdul Rahman Sulaiman yang berkata
pemerhatian pihaknya mendapati wujud tanda jelas campur tangan kuasa asing dalam politik Malaysia dan kenyataan Anwar bukti terbaru usaha membabitkan kuasa luar, khususnya rejim Yahudi dan konconya Amerika Syarikat.


Anwar sebelum ini dilaporkan menyokong usaha menjaga keselamatan Israel ketika beliau ditemuramah akhbar The Wall Street Journal.


"Saya tidak dengar kenyataan daripada pemimpin DAP. kalau begitu, kenyataan beliau itu mungkin sama ada tidak disokong atau ada percanggahan dalam soal apa yang disebutkan oleh Anwar Ibrahim," kata Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno.


Muhyiddin berkata sesiapa pun boleh membuat tafsiran apabila Anwar mengeluarkan kenyataan sebegitu dan laporan media juga menunjukkan pendirian pelbagai pihak bahawa kenyataan Anwar bukan sahaja bercanggah dengan dasar dalam dan luar negara ini berhubung dengan Israel dan Palestin tetapi banyak pihak mengatakan beliau tidak langsung mengambil kira perjuangan Islam dan mengetepikan hak orang Palestin untuk menentukan masa depan mereka.


"Ini bagi saya mungkin, secara tak tersirat apakah bermakna kalau Anwar Ibrahim akan ambil alih kerajaan akan dia ubah soal Israel dan Palestin atau dia akan gunakan penasihat-penasihat yang lain yang dia rasa boleh membantu dia dalam soal ini atau dia lebih mirip kepada tuntutan pelbagai pihak di Amerika untuk layan sentimen dan kehendak mereka, itu saya tidak tahu," katanya.- Bernama