Wacana: 4 panelis kupas ‘rasuah politik’
Wartawan Sinar Harian
29 Mac 2012
Wacana
SHAH ALAM - Benarkah rasuah politik wujud Malaysia? Jika benar apa buktinya dan apa pula risikonya?

Apa pula tekanan yang dihadapi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha mengheret 'orang politik' ke muka pengadilan?
Isu ini banyak diperkatakan saban tahun menjelang pemilihan peringkat parti dan ketika pilihan raya.
Semuanya akan didebatkan pada Wacana Sinar Harian Siri ke-12 bertajuk “Rasuah Politik: Persepsi atau Realiti” di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, petang ini.
Acara bulanan ini akan berlangsung mulai 2 petang ini.
Wacana kali ini, yang dipengerusikan oleh pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Maszlee Malik, mengetengahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull; Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang juga anggota Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan penganalisis politik dan Presiden Just, Dr Chandra Muzaffar.
Pengunjung setia Sinar Harian Online boleh mengikuti liputan secara langsung menerusi Twitter mulai 2 petang ini.