Wacana: Rasuah politik tidak bermusim
Wartawan Sinar Harian
30 Mac 2012
Wacana Sinar Harian ke-12 bertajuk "Rasuah Politik: Persepsi atau Realiti"
SHAH ALAM - Rasuah politik memang wujud dan ia wujud bukan hanya semasa pilihan raya sahaja.

Parti pemerintah terutamanya, memang menjanjikan sesuatu ganjaran kepada rakyat, termasuk projek pembangunan bagi terus mendapat sokongan.

Soalnya, apakah itu juga boleh dianggap rasuah politik?

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pembangkang sering menuduh kerajaan rasuah apabila menjanjikan projek pembangunan kepada rakyat.

“Sedangkan itu tanggung jawab kita sebagai pemerintah," kata wakil rakyat kawasan Kota Belud ini.

Namun katanya, mereka sendiri sering terlupa turut menjanjikan ‘bulan dan bintang’ untuk meraih undi.

“Kita janji apa yang kita mampu tetapi janji mereka, mereka sendiri pun tak dapat nak tunaikan,” katanya lagi ketika hadir sebagai ahli panel Wacana Sinar Harian ke-12, bertajuk Rasuah Politik: Persepsi atau Realiti di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Selain Abdul Rahman, turut sama berhujah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdull; tokoh akademik dan hak asasi terkemuka, Dr Chandra Muzaffar dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Wacana dipengerusikan pensyarah­ Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Ketika menjelaskan definisi tajuk bagi dirinya, Rafizi mengakui rasuah politik satu amalan membabitkan mereka yang berkuasa memberikan janji untuk mendapatkan sokongan agar keputusan pilihan raya memberi kelebihan kepada mereka.

“Di Malaysia, rasuah berlaku apabila seseorang individu menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. Pemahaman rakyat terhadap rasuah politik ialah kuasa disalahgunakan untuk memberikan projek kepada pihak-pihak tertentu dan bon pada pilihan raya,” katanya.

Berlainan pula bagi Chandra yang menegaskan bahawa rasuah politik adalah janji dibuat individu yang mewakili parti politik bagi meraih undi.

Menurutnya, rasuah politik bukan hanya tertumpu di negara ini, tetapi merangkumi seluruh dunia dalam usaha seseorang atau sesuatu kumpulan mencari kuasa sebagai parti pemerintah.

“Rasuah politik melangkaui sempadan kerana ia merangkumi semua pihak termasuk parti kerajaan ataupun pembangkang dan ia tidak tertumpu satu pihak sahaja.

“Jika kita lihat mana-mana pilihan raya, pemimpin setiap parti politik menjanjikan pelbagai imbuhan untuk memancing undi,” katanya.

Namun kata Chandra, rakyat sedia maklum rasuah politik bukanlah parti, sebaliknya sikap individu atau ahli politik itu sendiri dalam usaha meraih kemenangan.

“Ia boleh disifatkan bahawa rasuah jenayah individu,” katanya.

Mohd Shukri mengingatkan orang ramai supaya tidak menyangka buruk atau memusuhi SPRM yang bekerja keras serta bebas mencegah perbuatan rasuah bagi menyelamatkan masyarakat serta negara.

“Semua orang, terutama pemimpin politik janganlah musuhi kami. Kami berjuang menyelamatkan negara. Marilah kita sama-sama selamatkan negara. Janganlah politikkan isu rasuah kerana musuh kita ialah jenayah rasuah,” katanya.

Bagi maksud yang sama, Mohd Shukri berkata, pemimpin BN dan PR perlu menunjukkan persepakatan mereka untuk tidak mempolitikkan isu rasuah sebagaimana dimeterai bersama dalam Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah.

Menurutnya, masalah dihadapi SPRM dalam menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pemimpin politik ialah rasuah dipolitikkan demi kepentingan mereka.

“Isunya kini, jangan hanya bercakap tetapi kita perlu terjemahkan dalam bentuk tindakan.

“Mulai hari ini, dengan persetujuan wakil dua pemimpin daripada BN (Abdul Rahman) dan PR (Rafizi) tidak mempolitikkan rasuah, saya minta ianya terjemahkan dengan tindakan,” katanya