Nik Aziz: Mufti boleh jadi perantara, tapi bukan serang


NORHASRAM MOHAMAD
30 Mei 2012
Nik Aziz: Mufti boleh jadi perantara, bukan serang
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria supaya bijak menangani isu perpaduan serta pandai menjaga sempadan dengan tidak mencerobohi urusan orang lain.

Beliau berkata, mufti boleh menjadi orang tengah dalam sebarang usaha perpaduan asalkan tidak menyerang sebelah pihak sahaja.

“Mana mungkin menjadi orang tengah jika sekilas percakapan yang terungkap, orang dah tahu kita di sebelah mana. Islam memang mengajar umatnya hidup bersatu padu tapi mesti ingat, tiada asas kekuatan untuk bersatu kalau semata-mata atas nama bangsa Melayu.

"Pas amat menyokong sebarang usaha perpaduan umat, namun ia semestinya berlaku atas landasan Islam.

“Mana-mana pihak khususnya orang agama seumpama mufti bolehlah beritahu kepada pemimpin Umno agar menukar dasar partinya dan pentadbiran kerajaannya kepada Islam," kata beliau.

Selain itu kata Nik Aziz: "Begitu juga harus dipersoalkan kenapa Umno boleh menerima kebangsaan dan menolak perjuangan politik Islam?"

"Ada baiknya persoalan ini juga ditanyakan kepada mana-mana ahli Majlis Fatwa Mesir. Jangan sekadar menanyakan isu mengundi parti masuk syurga,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika memberi respons kepada kenyataan Harussani kelmarin.

Katanya, membuat ulasan lalu membenarkan pihak media massa mengaitkan nama individu sepertinya, bukanlah satu akhlak terpuji dan amat malang apabila akhlak itu menjadi 'pakaian' seorang mufti.