Tsunami politik PRU13 dari selatan, kata Pas
Wartawan Sinar Harian
31 Mei 2012
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
SHAH ALAM - Jika perubahan senario politik empat tahun lalu dikaitkan dengan tsunami politik dari utara, perkembangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) didakwa akan bertolak dari selatan Semenanjung - yang Pas mengatekorikan sebagai "tsunami dari selatan."

"Pada PRU kali ini, saya melihat kecenderungan tsunami muncul dari arah selatan di mana sokongan di negeri Johor khususnya semakin meningkat, tidak seperti dahulu di mana kita sering hilang deposit. Kita nampak peningkatan kali ini," kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dalam temu bual dengan Sinar Harian dan Sinar Harian Online semalam.

Ekoran tsunami politik 8 Mac 2008, Pas-DAP-PKR yang membentuk kerjasama politik, menawan kuasa kerajaan negeri di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Kelantan diterajui Pas sejak 1990. Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak tumbang awal 2009 ke tangan Barisan Nasional (BN).

Selain lima kerajaan negeri itu, ketiga-tiga parti itu turut memperoleh 84 kerusi Parlimen, sekali gus menafikan majoriti tradisi dua pertiga BN.

Selepas kejayaan itu, ketiga-tiga parti tersebut membentuk kerjasama politik atas nama Pakatan Rakyat (PR).

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, pihaknya yakin bahawa tsunami politik kali ini akan muncul dari selatan sebab "tsunami dari arah utara sudah kering, sudah tepu."

"Jadi tsunami dari arah selatan pula," katanya secara berseloroh tetapi memperlihatkan keyakinan perikatan berusia empat tahun itu.

Dilihat ada kaitan dengan tanggapan itu, Pas mahu menurunkan Naib Presidennya, Salahuddim Ayub bertanding di Johor.

Sebelum ini, Salahuddin mengesahkan akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan ia akan menjadi keutamaan beliau.

Sebelum ini, Salahuddin, anak kelahiran Johor, bertanding kerusi Parlimen Kuala Krai.

Bertolak dari itu, menjawab soalan berapa negeri yang PR yakin akan menang pada PRU13, Mustafa berkata, negeri-negeri yang dimenangi sebelum ini akan dikekalkan.

"PR yakin untuk menang (balik) di Perak,  Terengganu, Negeri Sembilan, (manakala) Johor, Melaka dan negeri yang lain akan berlaku peningkatan sokongan terhadap PR.

"Di Pahang, keluasannya besar dan merupakan negeri (kelahiran) Perdana Menteri, tidak mudah bagi PR tetapi yakin akan berlaku peningkatan sokongan," kata pemimpin dari Terengganu ini.