Hudud gantung pada kemahuan politik

Hudud gantung pada kemahuan politik
Wartawan Sinar Harian
8 Julai 2012
Antara peserta yang hadir pada Seminar Kebangsaan Undang-Undang Syariah di Malaysia.
Antara peserta yang hadir pada Seminar Kebangsaan Undang-Undang Syariah di Malaysia.
SHAH ALAM - Pelaksanaan hudud bergantung pada pemimpin politik yang berkuasa, sama ada mahu atau tidak melaksanakannya.

Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknolongi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Hasan Bahrom berkata, tanpa kemahuan politik (political will), undang-undang
Islam itu tidak mungkin dapat dilaksanakan.

"Kemahuan politik terutama di pihak kerajaan amat penting dalam mempengaruhi proses ke arah melaksanakan undang-undang Islam itu," katanya.

Hasan berkata, perkara itu pula dipengaruhi oleh persaingan, desakan dan pengaruh.

"Apabila wujud persaingan, desakan dan pengaruh yang kuat untuk mereka melaksanakan undang-undang itu, kemahuan politik akan jadi lebih tinggi.

"Faktor-faktor itu akan meletakkan mereka pada situasi ke arah melaksanakan (hudud) untuk mengekalkan imej negara Islam yang diuar uarkan dan mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa," katanya.

Sehubungan itu, jelas Hasan, persaingan antara parti politik untuk menonjolkan identiti dan mengekalkan tradisi keislaman bukan elemen negatif dalam percaturan politik di negara ini.

“Ia boleh dilihat sebagai pengimbang antara tuntutan rakyat dengan kehendak kerajaan. Persaingan ini dilihat sebagai pemangkin kepada usaha dan perubahan drastik oleh kerajaan dalam proses mengekalkan kuasa mereka sebagai pemerintah,” katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk Political Will Dalam Perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam pada Seminar Kebangsaan Undang-Undang Syariah di Malaysia, semalam.

Menurutnya, kegagalan kerajaan dalam mengimbangi tuntutan rakyat dengan keupayaannya melaksanakan undang-undang Islam memberi implikasi kepada kuasa yang mereka miliki.

“Jadi, kerajaan akan sentiasa berusaha untuk cuba memenuhi kehendak rakyat supaya ia tidak dilihat sebagai tidak Islam atau akan disingkirkan daripada menjadi pemerintah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurhafilah Musa berkata, undang-undang bergantung kepada tafsiran manusia dan manusia mentafsir berdasarkan kepercayaan.

"Kepercayaan yang dipasakkan dengan keyakinan yang mantap terhadap dua kalimah syahadah akan membuahkan tafsiran dan tindakan yang membolehkan syariah dilaksanakan dalam kerangka sistem perundangan sedia ada.

“Lihat contoh di Kelantan, walaupun belum sepenuhnya berjaya melaksanakan hudud, mereka tidak tumpukan pelaksanaan syariah kepada undang-undang jenayah semata mata, tetapi dalam masa yang sama, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan setiap tindakan di semua peringkat selari dengan syariah,” katanya yang membentangkan kertas kerja bertajuk Adakah Federalisme Penghalang Kepada Perlaksanaan Syariah Di Malaysia.