Jangan ada hudud Pas atau Umno


Jangan ada hudud Pas atau Umno
Wartawan Sinar Harian
8 Julai 2012
Yang Dipertua (YDP) Angkatan Belia Islam Malaysia (Adim) Kedah, Hafiz Mustafa Lubis
Yang Dipertua (YDP) Angkatan Belia Islam Malaysia (Adim) Kedah, Hafiz Mustafa Lubis
ALOR SETAR - Semua pihak diminta berlapang dada berhubung cadangan Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat, yang mencadangkan pelaksanaan undang-undang hudud di Johor, agar tidak wujud situasi hudud ala Pas atau hudud ala Umno.

Yang Dipertua (YDP) Angkatan Belia Islam Malaysia (Adim) Kedah, Hafiz Mustafa Lubis berkata, Abim di negeri ini menyokong penuh cadangan berkenaan dan meletakkan persoalan mengenai keikhlasan pencadangnya itu di tempat kedua.

Menurutnya, cadangan itu amat baik, malah sebaiknya ia tidak hanya dilaksanakan di Johor sahaja sebaliknya di seluruh negara.

“Kita mengharapkan agar isu ini tidak sekadar dijadikan faktor penarik dalam politik sebalik menyeru semua pihak agar berlapang dada dan meninggalkan parti masing-masing jika ingin membincangkan isu hudud secara serius.

“Hudud cuma ada satu, tidak ada ala Umno atau ala Pas. Jika mahu seribu daya namun jika tidak mahu seribu dalih,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, hudud sebenarnya memberi kesejahteraan kepada semua pihak dan bantahan yang diterima ialah daripada golongan masyarakat yang kurang memahami mengenai pelaksanaannya.

“Kerajaan ketika ini mempunyai pelbagai saluran media massa untuk membolehkan mereka memperjelas mengenai undang-undang hudud kepada masyarakat bukan
Islam.

“Dari segi pindaan enakmen negeri, ia boleh dipinda jika mahu. Jangan menggunakan pelbagai alasan untuk mengelak pelaksanaannya.

“Perkara (cadangan) ini baik, patut terima, malah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri menjadi antara individu terawal yang menyatakan persetujuan dan menyokong cadangan itu,” katanya.

Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah turut menyatakan sokongan terhadap cadangan pelaksanaan undang-undang hudud di Johor.

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abd Rani berkata, undang-undang hudud adalah undang-undang ALLAH SWT.

“Ini bererti ia merupakan undang-undang untuk mendidik masyarakat dan sesuai sepanjang zaman,” katanya.