ALOR GAJAH: Akibat dendam, dua sahabat parah apabila diserang
sekumpulan 15 lelaki bersenjatakan parang dan kayu di sebuah taman
permainan di Durian Tunggal, di sini, malam kelmarin.
Lebih mencemaskan, lima rakan mangsa yang berada di tempat kejadian turut diancam dengan parang supaya tidak mencampuri urusan mereka sekiranya tidak mahu menerima nasib sama. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shahruddin berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada dendam lama antara ahli kumpulan terbabit dengan mangsa.
“Akibat serangan itu, dua mangsa parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan manakala lima rakannya tidak dicederakan.
“Dua lelaki itu cedera serius di kepala selain patah pergelangan kaki kiri dan cedera di tangan,” katanya.
Beliau berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian melakukan operasi mengesan kumpulan lelaki yang menyerang mangsa di Durian Tunggal dan menahan empat suspek tidak lama selepas itu.