Muzakarah: Suara Hadi wakili Pas, Nik Aziz Syura

MOHD AZLIM ZAINURY
25 Mei 2012
Hadi Awang
Abdul Hadi menurunkan tanda tangan pada majlis merasmikan pembukaan Masjid
Mujahidin di Bukit Gasing, Marang.
MARANG – "Jika Musyidul Am Pas tetap ingin bermuzakarah dengan Umno itu bukan pendirian Pas tetapi bagi pihak Majlis Syura Ulama,” kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz, Rabu lalu.

Bagaimanapun pagi tadi, Nik Abdul Aziz mengumumkan bahawa beliau menarik balik hasratnya mahu bermuzakarah dengan Umno.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, keputusannya tidak mahu bermuzakarah dengan Umno adalah bagi mewakili parti Pas dan ia adalah sebagai satu kenyataan rasmi Presiden parti.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan usaha untuk mengadakan muzakarah dengan Umno ketika ini tidak akan memberi sebarang faedah kepada parti berkenaan memandangkan pilihan raya bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang.

“Kalau nak bincang dengan Umno, lebih baik bincang mengenai pilihan raya yang bersih. Bersihkan pilihan raya dahulu, kalau bermuzakarah sekarangpun tidak berguna,” katanya selepas merasmikan pembukaan Masjid Mujahidin di Bukit Gasing, Marang di sini, hari ini.

Rabu lalu, Nik Abdul Aziz berkata beliau  tetap mahu mengadakan muzakarah meskipun tidak dipersetujui pemimpin tertinggi parti termasuk, Presiden Pas.

Bagaimanapun, isu muzakarah yang ditimbulkan parti itu akhirnya tiba di penghujungnya apabila Mursyidul Am Pas menarik balik hasratnya mahu bermuzakarah dengan Umno selepas.

Ia diumumkan selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Kota Bharu, pagi tadi.

Menteri Besar Kelantan itu memberi alasan bahawa ia perlu ditarik balik kerana bertentangan dengan keputusan dibuat oleh Presiden Pas dan beliau harus mengikut pendirian Abdul Hadi serta isu itu tidak harus dipanjangkan lagi.

“Muzakarah Datuk Presiden sudah tarik, tidak mahu kerana terlalu banyak manipulasi, dia hendak muzakarah dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sahaja, jadi saya pun terpaksa tariklah,” katanya.