JERTIH: Kegembiraan keluarga gadis misteri, Siti Balqis Mohd Nor, 22, yang mendapat batu permata sejak Rabu lalu, berakhir apabila batu permata berkenaan hilang dalam simpanan selepas empat hari mereka menyimpannya.
Batu permata yang jatuh secara tiba-tiba di dalam rumah gadis berkenaan di Kampung Gong Nangka, dekat sini, dikatakan anugerah istimewa yang tidak diketahui puncanya.
Ibu gadis itu, Norizan Said, 47, berkata sebanyak 15 biji permata berwarna putih, hijau dan merah jatuh di dalam rumahnya menyebabkan seluruh keluarga dan tetamu yang datang melawat Siti Balqis terkejut dengan kejadian aneh itu.
Bagaimanapun, katanya 14 daripada pertama yang disimpan dalam bekas khas dan direndam dalam air zam zam tiba-tiba ghaib pagi semalam, walaupun ia dikawal ketat oleh anak saudaranya, Mohd Zainuddin Mohamad, 42.
Mohd Zainuddin berkata, satu lagi permata diberikan kepada penasihat agama program Ilmu Alam Ghaib TV3, Sharhan Shafie, untuk membuat analisis terhadap penemuan batu permata yang disifatkan satu lagi kejadian aneh berlaku dalam rumah berkenaan.
Katanya, dia yang ditugaskan oleh Norizan untuk menjaga batu permata itu terkejut kerana ia ghaib dalam simpanan walaupun dijaga ketat dan tiada siapa yang boleh masuk dalam bilik yang berkunci.
Saya menyedari kehilangannya itu kira-kita jam 4 pagi tadi apabila melihat tempat menyimpan batu permata itu kosong, katanya.
Menurutnya, mustahil batu permata itu dicuri manusia biasa kerana anggota peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Besut turut berada di kawasan rumah itu bagi mengawal keadaan.
Sementara itu, Sharhan ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam tidak terkejut dengan kehilangan 14 biji permata yang disimpan di rumah gadis misteri itu kerana ia sememangnya untuk menguji keluarga Siti Balqis.
Sharhan berkata, batu permata yang disimpannya juga hampir dighaibkan oleh jin pada malam sama tetapi ia gagal dilarikan kerana sudah memagar tempat simpanan batu permata dengan ayat suci al-Quran.
Katanya, dia sudah mengesyaki batu permata dalam simpanan keluarga terbabit akan hilang kerana jin yang menjaga Siti Balqis didakwa berdendam disebabkan gagal untuk melarikan Siti Balqis selepas kawasan rumahnya dipagar dengan menggunakan garam dan ayat suci al-Quran.
Sharhan mendakwa, beliau sendiri turut ternampak tangan jin berbulu sedang menarik bekas batu permata yang disimpan di rumahnya, tetapi gagal.
Malah, kata Sharhan beliau turut diugut oleh jin supaya tidak membantu mengubati Siti Balqis dan jika meneruskan juga, jin akan mengambil anaknya pula sebagai ganti kepada Siti Balqis.
Sementara itu, kira-kira 200 ahli Pergerakan Wanita Umno dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, mengadakan majlis membaca surah Yasin beramai-ramai di rumah keluarga Siti Balqis semalam sebagai ikhtiar untuk menyelamatkan keluarga berkenaan.
Sumber : Harian Metro
baca kisah2 misteri ini dari awal disini...