Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Tolak hudud seperti pertikai al-Quran


Tolak hudud seperti pertikai al-Quran
Wartawan Sinar Harian
8 Julai 2012
Tolak hudud seperti pertikai al-Quran
Mohd Sukki
JOHOR BAHRU - Hukum hudud perlu diterima semua umat Islam dan menolaknya boleh dianggap sama seperti mempertikaikan al-Quran kerana hukum berkenaan telah disebut di dalam kitab itu.

Pendakwah, Dr Mohd Sukki Othman berkata, perbincangan yang lebih terperinci mengenai perkara ini perlu diadakan bagi membentuk kefahaman yang jelas dalam kalangan masyarakat khususnya golongan bukan Islam.

“Hudud adalah sesuatu yang disebut dalam al-Quran dan kalau kita cakap ia tidak sesuai, maknanya kita telah menafikan kesahihan kitab itu.

“Umat Islam perlu terima hukum ini cuma pelaksanaannya perlu dibentuk dengan lebih efisien dan teratur agar ia mendatangkan kebaikan secara menyeluruh kepada semua pihak.

“Di samping itu, pendidikan dan kefahaman berterusan yang jelas mengenai hukum ini amat penting supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan rungutan di kemudian hari,” katanya.

Mohd Sukki yang juga Pensyarah di Universiti Putra Malaysia berkata, hukum hudud tidak bercanggah dengan Perlembagaan negara ini yang mendukung agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Apabila Islam dijadikan agama Persekutuan negara ini bermakna kita (Malaysia) menerima secara keseluruhan, jadi hukum hudud ini tidak bercanggah dengan Perlembagaan negara,” katanya.

Katanya, cadangan yang dikemukakan Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat mengenai pelaksanaan hudud menunjukkan ruang untuk melaksanakan undang-undang itu lebih mudah.

“Melihat kepada senario hari ini menunjukkan hukum hudud mula diterima kedua-dua pihak (Umno dan Pas), jadi ada ruang lebih mudah untuk dibincang ke arah pelaksanaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Himpunan Ustaz dan Ulama (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, pelaksanaan hukum hudud di negara ini sentiasa relevan terutamanya dalam keadaan masalah sosial yang semakin membimbangkan dan makin meruncing pada masa ini.

“Saya percaya hukum hudud dapat membantu mengurangkan gejala negatif dan membentuk akhlak masyarakat dengan lebih baik.

“Namun pelaksanaan perlu diproses dengan penjelasan yang menyeluruh kepada masyarakat supaya tidak menimbulkan salah faham,” katanya.

Katanya, isu ketidakadilan dalam pelaksanaan hudud bagi bukan Islam tidak timbul kerana undang-undang itu merupakan pilihan bagi mereka, malah undang-undang sedia ada juga tidak terbatal setelah hudud diguna pakai.

“Saya yakin walaupun hudud dilaksanakan, ia hanya akan diguna pakai pada kadar minimum berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Tiada alasan tidak laksana undang-undang Islam


Tiada alasan tidak laksana undang-undang Islam
Wartawan Sinar Harian
8 Julai 2012
SHAH ALAM – Malaysia mempunyai banyak kelebihan apabila Islam diangkat sebagai agama rasmi negara, justeru tiada alasan untuk melengahkan lagi pelaksanaan undang-undang Islam, kata Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz.

Menurutnya, Islam sebagai agama Persekutuan merupakan tunjang kekuatan umat Islam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja-Raja Melayu ini adalah Ketua Agama Islam dan ini juga adalah lambang keutuhan umat Islam di negara ini.

“Semua ini terletak di bahu kita sama ada mahu memulakan usaha ini, atau tunggu dan lihat dan menyebabkan kita terus ketinggalan berbanding dengan negara yang sebelum ini
dimomokkan seperti negara sekular Turki dan Mesir yang telah jauh ke hadapan,” katanya.

Wan Mohamad berkata, sekiranya analisis kekuatan negara kita dilakukan, ketua negara Muslim, Islam nama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, itu maknanya ALLAH menguji kita dan mengurniakan banyak kelebihan.

“Apabila ditanya pakar strategik, siapa ketua negara kita, muslim..siapa ketua kerajaan kita, muslim.. Hanya nama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, bila lagi kita mahu laksanakan. Tunggu atau lihat?,” katanya pada Seminar Kebangsaan Undang-Undang Syariah di Malaysia semalam.

Seminar sehari itu, dihadiri kira-kira 250 peserta anjuran Persatuan Ulama Malaysia dengan kerjasama Jabatan Mufti Selangor Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri di
Muzium Sultan Alam Shah.

Beliau turut mengambil contoh ketegasan Sultan Brunei, Sultan Hassanah Bolkiah yang bertitah pada Seminar Antarabangsa Perundangan Islam pada tahun ini.

“Titah Sultan, tidak boleh lagi berkata tidak atau tunggu dulu, sebab kita sudah cukup segalanya ada kemampuan dan ada kuasa dan cukup kemampuan untuk melaksanakannya.

“Kalau kita masih berkata tidak atau tunggu dulu, ini adalah tidak kena. Siapa kita di hadapan ALLAH untuk berkata tidak dan tunggu dulu, sedangkan undang-undang bukanlah
baru digubal tetapi telah termaktub dalam al-Quran dan hadis semenjak 1400 tahun dahulu,” katanya yang membacakan semula titah tersebut.

Sehubungan itu katanya, walaupun isu hudud ini berbangkit sewaktu gendang pilihan raya hampir tiba, namun ia harus diterima sebagai petanda usaha ulama silam semakin berjaya.

Nik Aziz batal hasrat muzakarah dengan Umno


Norhasram Mohamad
25 Mei 2012
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akur dengan pendirian Pas Pusat yang memutuskan tidak akan bermuzakarah dengan Umno.

Sehubungan itu, Nik Abdul Aziz berkata, beliau menarik balik hasrat untuk bermuzakarah kerana wujud terlalu banyak pandangan yang bercanggah.
"Tak usah, tak usah, kita berjemaah ni kena turut tok imam," kata beliau selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, hari ini.
Pada 16 Mei lalu, Nik Abdul Aziz berkata, Pas sentiasa  bersikap pintu terbuka untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno.

Malah katanya, beliau bersetuju jika ia muzakarah dengan Umno dalam masa terdekat untuk menyelesaikan pelbagai isu, namun bergantung kepada parti berkenaan untuk merealisasikan hasrat tersebut.

“Muzakarah adalah fitrah manusia untuk menyelesaikan sesuatu perkara dan saya sendiri mengamalkan sejak dulu lagi, saya bersetuju jika ia diadakan dengan (dengan Umno),” katanya.
Dua hari lalu, Nik Abdul Aziz berkata, beliau tetap mahu mengadakan muzakarah dengan Umno meskipun tidak mendapat persetujuan ahli jawatankuasa tertinggi parti termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pertemuan itu penting  bagi menentukan hala tuju dan matlamat perjuangannya untuk menegakkan syiar Islam.

“Ini keputusan saya dan tidak ada kena-mengena dengan orang lain, jadi saya tak kisah walau ada yang tidak bersetuju. Kita mesti letak syarat bagi menjelaskan maksud sebenar kita mengadakan muzakarah,” katanya.
Dua hari sebelum itu, Abdul Hadi mengumumkan bahawa tidak akan ada muzakarah dengan Umno dalam masa terdekat kecuali dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Muzakarah: Suara Hadi wakili Pas, Nik Aziz Syura

MOHD AZLIM ZAINURY
25 Mei 2012
Hadi Awang
Abdul Hadi menurunkan tanda tangan pada majlis merasmikan pembukaan Masjid
Mujahidin di Bukit Gasing, Marang.
MARANG – "Jika Musyidul Am Pas tetap ingin bermuzakarah dengan Umno itu bukan pendirian Pas tetapi bagi pihak Majlis Syura Ulama,” kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz, Rabu lalu.

Bagaimanapun pagi tadi, Nik Abdul Aziz mengumumkan bahawa beliau menarik balik hasratnya mahu bermuzakarah dengan Umno.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, keputusannya tidak mahu bermuzakarah dengan Umno adalah bagi mewakili parti Pas dan ia adalah sebagai satu kenyataan rasmi Presiden parti.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan usaha untuk mengadakan muzakarah dengan Umno ketika ini tidak akan memberi sebarang faedah kepada parti berkenaan memandangkan pilihan raya bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang.

“Kalau nak bincang dengan Umno, lebih baik bincang mengenai pilihan raya yang bersih. Bersihkan pilihan raya dahulu, kalau bermuzakarah sekarangpun tidak berguna,” katanya selepas merasmikan pembukaan Masjid Mujahidin di Bukit Gasing, Marang di sini, hari ini.

Rabu lalu, Nik Abdul Aziz berkata beliau  tetap mahu mengadakan muzakarah meskipun tidak dipersetujui pemimpin tertinggi parti termasuk, Presiden Pas.

Bagaimanapun, isu muzakarah yang ditimbulkan parti itu akhirnya tiba di penghujungnya apabila Mursyidul Am Pas menarik balik hasratnya mahu bermuzakarah dengan Umno selepas.

Ia diumumkan selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Kota Bharu, pagi tadi.

Menteri Besar Kelantan itu memberi alasan bahawa ia perlu ditarik balik kerana bertentangan dengan keputusan dibuat oleh Presiden Pas dan beliau harus mengikut pendirian Abdul Hadi serta isu itu tidak harus dipanjangkan lagi.

“Muzakarah Datuk Presiden sudah tarik, tidak mahu kerana terlalu banyak manipulasi, dia hendak muzakarah dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sahaja, jadi saya pun terpaksa tariklah,” katanya.

Pakatan: Kenyataan Mahathir tidak berasas


Fairus Jumain & Jamilah Hamzah
26 Mei 2012
Datuk Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Saifuddin Nasution Ismail
SHAH ALAM – PKR menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pihak pembangkang akan menimbulkan kekecohan ganas sekiranya kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebagai tidak berasas.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, kenyataan Dr Mahathir seharusnya dilihat secara terbalik, dan mendakwa pihak Umno-Barisan Nasional (BN) yang akan mencetuskan keganasan.

“Jika kita lihat sejarah Dr Mahathir, selalunya kenyataan beliau memberi maksud yang lain. Kita perlu melihat secara tersirat. Beliau sukakan perkara paradoks.

“Jika Umno-BN tewas pada PRU13, maka merekalah yang mencetuskan keganasan. Oleh itu saya melihat kenyataan Dr Mahathir sebagai kenyataan pihak yang berada di hujung nyawa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Semalam, Dr Mahathir berkata pihak pembangkang akan melancarkan demonstrasi ganas secara berterusan sekiranya mereka tewas pada PRU13 nanti.

Menurutnya, demonstrasi ganas itu juga sebagai satu cara untuk menunjukkan kepada negara luar bahawa rakyat negara ini menolak keputusan pilihan raya yang kononnya telah dimanipulasi oleh kerajaan BN.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula mendakwa Dr Mahathir berkhayal dan kenyataannya itu adalah salah satu manifesto kerajaan Umno- BN dalam pilihan raya umum akan datang bagi menimbulkan tanggapan negatif terhadap parti Pakatan Rakyat (PR).

"Saya merasakan Mahathir dihantui oleh keganasan demontrasi yang berlaku seperti di negara Arab dan nasihatkan supaya tidak terlalu berfikir negatif kepada demonstrasi yang dilakukan di Malaysia.

"Kita berhimpun menggunakan cara yang sah dan ikut undang-undang dan sama sekali tidak ada niat untuk cetuskan hura-hara pada Bersih 3.0 lalu," katanya.

Salahuddin turut berkata, setelah 12 kali PRU diadakan tetapi parti PR tidak pernah lakukan perkara yang menyalahi perlembagaan dan mereka rela kalah pada sitem pilihan raya walupun tidak berpuas hati dengan PRU 13 akan datang.

“Bayangkan kalau memang kami berniat untuk bertindak ganas pada hari itu, Kuala Lumpur akan menerima kesan yang dasyat dan saya bimbang kalau BN yang akan berkelakuan ganas seperti yang terjadi pada ceramah semalam (malam kelmarin)," katanya.

PRU13: Isu NFC boleh jejas imej Umno-BN


Wartawan Sinar Harian
11 Mei 2012
PRU13: Isu NFC boleh jejas imej Umno-BN
Graf kajian berdasarkan data dari UMCEDEL
SHAH ALAM - Kontroversi berkaitan dengan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang tercetus November lalu, dilihat sebagai antara isu masih 'segar' di kalangan pengundi dan boleh menjejaskan imej Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana memberi gambaran parti itu mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Ia antara penemuan kajian kendalian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang baru dikeluarkan.

Daripada lebih 2,200 responden ditemui, yang terdiri daripada pengundi berdaftar, majoriti pengundi mengatakan mereka bersetuju yang isu NFC menjejekasn imej Umno kerana ia memberi gambaran parti teras Barisan Nasional (BN) itu mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

Isu itu telah membawa kepada tindakan mahkamah ke atas Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr Salleh Ismail manakala isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berundur sebagai anggota Kabinet apabila tempoh senator berakhir 8 April lalu.

Kajian ini dijalankan dalam lingkungan tersebut.

Hasil kajian yang diperoleh menunjukkan 68 peratus responden Melayu berada dalam kelompok sangat setuju dan setuju apabila diajukan soalan berkaitan.

Begitu juga dengan responden kalangan pengundi Cina - masing-masing 31 peratus sangat setuju dan 49 peratus setuju. Pengundi India yang sangat bersetuju dan setuju dengan soalan itu masing-masing 13 peratus dan 32 peratus.

Kontroversi NFC merupakan salah satu daripada empat isu yang menjadi pilihan responden apabila ditanya mengenai antara isu yang boleh menjejaskan prestasi BN pada PRU13.

Dua isu yang lain ialah kenaikan harga rumah yang melambung tinggi dan aspek berkaitan dengan integriti pemimpin BN-Umno.

Salah satu aspek penemuan hasil kajian, yang dibawa Sinar Harian Online semalam menunjukkan BN menjadi keutamaan di kalangan 49 peratus pengundi manakala 21 peratus kepada Pakatan Rakyat. Bagaimanapun 30 peratus pengundi masih belum membuat keputusan, dilihat sebagai pengundi atas pagar.

Berhubung soalan sama ada isu NFC tidak berkaitan dengan Shahrizat dan diperbesarkan oleh parti pembangkang, 49 peratus respoden tidak setuju manakala 35 peratus tidak pasti.

Hanya masing-masing empat peratus dan 12 peratus sangat setuju dan setuju dengan soalan itu.

Malah, arah aliran pandangan itu seiring dengan pendirian yang dilahirkan oleh responden yang cenderung menyokong BN.

Peratusan mereka yang tidak setuju dan sangat tidak setuju (38 peratus) mengatasi kumpulan responden yang setuju dan sangat setuju (21 peratus).

Majoriti responden juga bersetuju bahawa isu NFC melibatkan Shahrizat kerana penglibatan keluarganya secara langsung.

Seramai 58 peratus sangat setuju dan setuju manakala 35 peratus lagi tidak pasti.

Menjawab soalan sama ada keluarga Shahrizat perlu memulangkan kembali wang NFC kepada kerajaan, 66 peratus responden berada dalam kelompok sangat setuju dan setuju.

Hanya 29 peratus responden tidak pasti.