Anwar bebas, tidak bermakna tiada liwat

Logo kes Anwar
SHAH ALAM - Ketika penyokong Pakatan Rakyat (PR) bersorak selepas mahkamah mem­­bebaskan Ketua Pem­bangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih ada individu kurang berpuas hati mendakwa Anwar adalah peliwat sebenar.
 
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman, menghormati keputusan dibuat Mahkamah Tinggi semalam, bagaimanapun masih yakin Anwar adalah pelaku di dalam kes tersebut.
 
Rahimi individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Saiful kepada Anwar berkata, walaupun bukti untuk mensabitkan Anwar masih lemah, tetapi itu tidak bermakna perkara liwat tidak berlaku antara mereka.
 
“Saya hormati keputusan mahkamah, namun saya tetap tidak mahu menafikan bahawa Anwar meliwat Saiful.
 
“Tiga tahun saya bekerja dengan Anwar dan saya kenal siapa dia. Tidak cukup bukti tidak bermakna perkara liwat tidak berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Rahimi berkata, keputu-san ini menunjukkan badan kehakiman negara bebas dan tiada sebarang rancangan konspirasi jahat.
 
“Jika ada, sudah tentu Anwar akan didapati bersalah, tidak kira pendakwaan mempunyai cukup bukti atau tidak,” katanya.
 
Ketika ditanya adakah beliau orang kuat di belakang Saiful dalam memperjuangkan kebenaran, Rahimi berkata, beliau tidak menyokong Saiful ataupun Anwar kerana sokongan terhadap individu akan membuat manusia taksub dan buta pada kebenaran.
 
“Saya cuma akan terus berjuang untuk menegakkan kebenaran dan menghalang Anwar daripada menjadi pemimpin Malaysia kerana masalah moralnya,” katanya.

@sinarharian.com.my