Anwar: Pakatan tak akan lenyap meskipun dipenjara

Anwar Ibrahim
PETALING JAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan berkubur meskipun beliau didapati bersalah dan dipenjarakan berhubung tuduhan kes liwat, minggu depan.

Justeru kata Anwar, PR telah bersedia terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku dan telah membuat persiapan rapi.

"Pendakwaan terhadap saya bukan baru. Sudah tiga tahun dan pimpinan PR ini juga bukan baru. Apakah kita mempunyai persiapan? jawapannya, ya! Kita juga telah bincang tentang sebarang kemungkinan. Kita buat persiapan cukup.

"Saya tidak menolak sebarang kemungkinan dan risiko. Cuma saya mahu ingatkan, siri jelajah yang dilakukan (kempen 901) bukan soal peribadi. Tetapi, mengenai soal rakyat, ekonomi dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi PR hari ini.

Ketua Umum PR berhadapan dengan tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.

Keputusan mahkamah berhubung kes liwat melibatkan Anwar akan diketahui Isnin depan.

Selain itu, Anwar turut menegaskan, jika beliau dijatuhkan hukuman penjara sekalipun, ia tidak bermakna PR akan akan tumbang.

Katanya, "kalau ada orang Umno fikir dengan memenjarakan atau melenyapkan Anwar akan menjejaskan PR, itu silap. PR terdiri daripada asas dan dasar perjuangan yang jelas. Dasar kami ialah untuk kebaikkan negara," katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan seluruh ahli keluarganya mengambil sikap bersedia terhadap segala kemungkinan mengenai keputusan kesnya.

Malah, katanya, program-program bagi mempersiapkan PR untuk tawan Putrajaya pada pilihan raya ke-13 juga akan diteruskan.
@sinarharian.com.my