Diana Danielle sedia bergelar isteri!

Diana Danielle
Kisah artis bercinta sesama artis bukanlah perkara baru dan antara pasangan selebriti yang menjadi perhatian peminat ialah pelakon kacukan, Diana Danielle dan Farid Kamil.

Meskipun hubungan mereka pernah dilanda badai sebelum ini, namun pasangan sama cantik sama padan ini berjaya mengekalkan percintaan mereka sehingga kini.

Tidak seperti pasangan artis lain, Diana dan Farid masing-masing selesa untuk tidak menggembar-gemburkan hubungan dan jarang tampil di khalayak secara berpasangan.

Namun begitu, tersebar khabar bahawa Diana dan Farid bakal mengikut jejak langkah pasangan Yusry-Lisa Surihani dan Awal Ashaari-Scha Al Yahya yang akan mendirikan rumah tangga, tahun ini.

Saat ditemui pada majlis pengumuman Top 5 Anugerah Bintang Popular (ABP) 2010, baru-baru ini, Diana hanya menganggap berita itu sebagai khabar angin.

Malah, aktres kacukan yang popular dengan filem Magika itu sendiri hairan bagaimana timbul spekulasi dirinya akan menamatkan zaman bujang.

“Cerita itu langsung tidak benar kerana kami tidak pernah merancang untuk melangsungkan perkahwinan tahun ini.

“Setakat ini, kami selesa dengan perhubungan ini dan hanya mampu menyerahkan pada masa untuk menentukannya,” katanya.

Menyulam cinta pada usia muda, Diana yang bakal menginjak 21 tahun November ini, bagaimanapun tidak menafikan dirinya sudah bersedia untuk memegang status isteri.

“Mungkin terlalu awal untuk saya berfikir mengenai perkahwinan, namun jika jodoh sudah sampai saya tidak menolak.

“Lagipun, dari kecil saya sudah berdikari dan yakin mampu menggalas tanggungjawab apabila sudah bergelar isteri.

“Malah, semua benda saya anggap sebagai cabaran dan setiap hari saya akan belajar memperbaiki diri,” katanya.


Syukur tercalon

Sempat berkongsi perkembangan terbarunya, Diana yang tersenarai dalam top 5 kategori Pelakon Filem Wanita Popular ABP 2010, meluahkan kegembiraannya tercalon buat kali keempat.

“Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang. Apa pun, terima kasih banyak-banyak kepada peminat kerana sudi mengundi,” katanya.

Bakal muncul dengan filem Azazil dan Hanyut tahun ini, Diana juga sedang sibuk mengumpul duit bagi melanjutkan pelajaran di luar negara.
@sinarharian.com.my