Fazura bukan kaki gaduh

Fazura
Kebelakangan ini khabar angin mengenai 'perang dingin' antara pelakon jelita, Fazura dan bekas Dewi Remaja, Neelofa semakin mendapat perhatian peminat dan juga media.

Sebelum ini mereka pernah dikatakan bergaduh ketika penggambaran drama Tahajjud Cinta. Pergaduhan itu didakwa berpunca dari perebutan kekasih yang juga merupakan seorang VVIP,

Namun, baik Fazura mahupun Neelofa menafikan perkara itu dan bersikap profesional di hadapan media.

Pun begitu, perang dingin mereka dikatakan masih berterusan. Terbaru, Fazura dikatakan menyindir Neelofa menerusi Twitternya, walaupun tidak mendedahkan nama aktres jelita itu.

Bagaimanapun, pelakon Pisau Cukur ini menafikan perkara itu. Menurut Fazura, setiap status yang dipamerkan menerusi Twitternya tidak ada kena mengena dengan sebarang individu termasuklah Neelofa.

“Semua status yang saya buat tidak langsung ada kena mengena dengan sesiapa pun melainkan diri saya sendiri, tapi kalau ada pihak terasa terpulanglah kepada mereka.

“Saya tidak bergaduh dengan sesiapa dan kalau ada pihak menyatakan saya syok sendiri pun saya tidak kisah,” ujar Fazura dengan penuh makna.

Tidak mahu memusuhi sesiapa, kata Fazura, dia tidak pernah ada masalah dengan pelakon yang sedang meningkat naik itu.

Beralih mengenai hubungannya dengan seorang kerabat raja, dengan pantasnya Fazura berkata, 'No komen'.

Pelakon kelahiran Pekan, Pahang ini, menegaskan dia tidak mahu isu peribadi mengatasi kerja-yanya dalam industri ini.


Lebih selektif

Lupakan seketika kontroversi yang sedang menyelubunginya, pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin, 27, nekad memberikan yang terbaik dalam karier seninya. Berada dalam kategori pelakon senior, Fazura kini boleh berbangga dengan pencapaian lakonannya. Namun dia tidak pernah meletakkan diri di tahap selesa dan kini semakin selektif menerima tawaran lakonan.

Malah Fazura turut mengakui filem Bujang Terlajak Belum Terlambat akan menjadi filem pertama dan terakhirnya pada tahun ini.

Namun, keputusan itu diambil bukan kerana bintang Lux ini sedang bercinta dengan kerabat Di raja, sebaliknya keputusan itu diambil demi menghormati permintaan ibunya.

"Bukan kerana percintaan, tetapi ibu saya kurang gemar saya berlakon. Tapi saya lakukan juga kerana ini minat saya.

“Saya terpaksa menolak beberapa tawaran kerana sesetengah watak yang diberikan kepada saya tidak sesuai dan sama seperti watak sebelumnya.

“Kalau boleh saya mahu watak baru yang belum pernah saya lakonkan seperti watak perempuan yang jahat atau gila kerana saya mahu lakonan saya lebih versatil,” katanya yang ditemui ketika pra tonton filem arahan Prof Madya A Razak Mahaideen, di Mid Valley, malam kelmarin.

Menerusi filem terbitan Line Clear Motion Pictures, Fazura memegang watak sebagai Puteri dan turut berlakon bersama beberapa pelakon popular seperti Saiful Apek, Johan, Nabil Raja Lawak, Mustafa Kamal serta Susan Menon.

“Ini filem pertama arahan Prof Madya A Razak Mahaideen yang pernah saya lakonkan dan ianya merupakan pengalaman yang berharga buat saya.

“Sudah lama saya ingin bekerjasama dengannya kerana filem komedi arahan beliau menarik perhatian saya dengan idea yang ringan dan santai,” katanya.

Bertanya sampai bilakah aktres jelita ini mahu menceburi dalam bidang lakonan, sambil tersenyum Fazura berkata, dia akan terus berlakon selagi bakatnya diperlukan.

“Sebenarnya, sejak dulu ibu saya tidak berapa suka saya meneruskan karier sebagai pelakon.

“Umurnya yang semakin meningkat membuatkan ibu semakin sensitif. Bagaimanapun saya akan cuba yang termampu dalam industri lakonan ini,” katanya yang berharap sinar yang lebih baik pada tahun ini.


Punya bisnes sendiri

Berkecimpung dalam bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang baru bagi selebriti di negara ini. Malah ianya merupakan satu peluang yang besar kepada mereka untuk mendapatkan sumber pencarian yang lebih stabil berbanding industri lakonan yang ada pasang surutnya.

Menurut Fazura, selain lakonan, dia kini sibuk menguruskan perniagaannya yang telah dirancang sejak dua tahun lalu.

“Buat masa ini, saya tidak mahu mendedahkan perniagaan ini kerana ianya masih baru beroperasi.

“Saya mahu mencari pendapatan lebih stabil untuk meneruskan kehidupan dan tidak mahu terlalu bergantung hasil dunia lakonan memandangkan umur saya telah meningkat,” katanya.
@sinarharian.com.my
fazura & neolofa