Filem seram pertama Ismail Bob Hashim


Sumpahan Kum Kum
Hanya berlatar suasana kampung, tanpa sentuhan Imej Janaan Komputer (CGI) yang kebiasaannya menjadi pilihan pengarah masa kini, Sumpahan Kum Kum, filem seram pertama arahan Ismail Bob Hasim tetap punya keistimewaan tersendiri.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Bob antara pengarah muda yang berjaya meletakkan satu penanda aras untuk pengkarya filem bagi menerbitkan filem pecah panggung dan menepati selera penonton.

Dari permulaan cerita, Bob bijak 'mengunci' perhatian penonton dengan sinematografi suasana malam. Apatah lagi ketika babak Wawa Zainal melangkah ke tandas dan terdengar suara yang menyebut 'Asalamualaikum.. kum.. kum..', penonton sudah mula gelisah dan merasai debaran.

Naratif yang digarap Bob, mudah difahami dari satu plot ke satu plot kerana Bob bijak menggarap jalan cerita agar semua orang memahami perkaitan antara satu watak dengan watak yang lain.

Ia mengisahkan Mila yang malu dengan keadaan rupanya yang berjerawat telah berjumpa dengan seorang dukun untuk mendapatkan susuk. Selepas itu, Mila dilarang melihat cermin selama 44 hari.

Bagaimanapun, Mila melanggar pantang larang tersebut dan rupanya kembali menjadi hodoh. Mila pergi berjumpa dukun sama dan merayu untuk memulihkan wajahnya kembali dan akhirnya, Mila dikehendaki meminum darah sembilan gadis sunti.

Mila menurut perintah dengan menjadikan anak gadis dukun tersebut sebagai mangsa pertamanya. Perbuatannya itu diketahui dukun tersebut dan dia dibunuh. Namun sebelum mati, Mila berjanji untuk menghapuskan semua keturunan sunti dukun tersebut.

Kehadiran 'hantu' juga tidak terlalu meleret-leret dengan tujuan untuk menakutkan penonton. Sebaliknya, setiap kemunculan itu pasti bersebab, dan setiap kali hantu muncul, penonton pasti akan terjerit kerana kemunculannya yang kadangkala mendadak.

Tidak kurang juga, ada yang bergurau kerana jantung pasti bergerak laju apabila tiba suasana malam.

Malah dari segi sinematografinya pula, pencahayaan yang digunakan tidak terlalu terang pada waktu malam, penonton akan turut sama merasai 'kesuraman' ketika itu.


Lakonan mantap Feroz Khan!

Pemilihan Feroz Khan sebagai teraju utama filem ini juga dianggap tepat. Biarpun jarang muncul sejak akhir-akhir ini, penampilan Feroz tidak mengecewakan. Dia berjaya membawa karakternya dengan berkesan.

Apatah lagi apabila ia dirasuk, Feroz mendalami karakternya itu sehingga untuk melihat mukanya juga membuatkan penonton terasa ngeri.

Malah dialog yang dilontarkan Feroz juga tidak berlebih-lebih dan sesuai dengan perwatakannya sebagai seorang bapa yang fobia dengan kematian adiknya.

Cuma, kadangkala dialog yang dilontarkan akan membuatkan penonton ketawa.

Selain itu, Puteri Mardiana juga menampilkan lakonan berkesan biarpun wataknya hanya muncul separuh jalan cerita. Sememangnya, sejak awal penglibatannya dalam bidang seni, Mardiana tidak pernah memberi lakonan mengecewakan.

Secara keseluruhan, filem ini sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat dan bagi yang merindui karya-karya seram seperti Jangan Pandang Belakang, Khurafat, maka Sumpahan Kum Kum wajar menjadi pilihan..
@sinarharian.com.my