Gabungan mantap gamatkan Bujang terlajak

Gabungan mantap gamatkan Bujang terlajak
FILEM terbaru arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen, Bujang Terlajak Belum Terlanjur, bagai sudah boleh dijangkakan jalan ceritanya. Menampilkan jalan cerita yang agak ringkas, ia sesuai untuk hiburan seisi keluarga.

Walaupun jalan ceritanya seakan tampak ringkas, namun penonton pasti tidak kering gusi dengan komedi dari Apek, Johan dan Nabil ini. Gabungan mereka jelas mencetuskan klimaks ketawa yang cukup maksimum untuk menghiburkan hati anda.

Malah, mereka juga tidak memberikan lawak berlebihan untuk kelihatan lebih hebat antara satu sama lain, sebaliknya membawa karakter masing-masing dengan begitu baik.

Kehadiran Fazura sebagai bunga di antara tiga kumbang memeriahkan lagi jalan cerita itu. Tiada keistimewaan berlebihan dari aspek sinematografi dan plot, namun cerita ini sesuai ditonton jika anda mahukan hiburan santai.

Bujang Terlajak Belum Terlanjur mengisahkan tiga sekawan (lakonan Saiful Apek, Johan dan Nabil) yang belum bertemu jodoh sehingga mereka berkenalan dengan Puteri (lakonan Nur Fazura).

Akibat desakan keluarga masing-masing yang mahukan mereka cepat berkahwin, ketiga-tiga mereka terpaksa bersaing sesama sendiri untuk memikat Puteri.

Akhirnya, mereka menemui cara terbaik untuk memenangi hati Puteri iaitu menyamar sebagai orang kurang upaya (buta,pekak dan bisu).

Maka berlakulah peristiwa-peristiwa yang menggelikan hati sepanjang proses mengorat sehingga kadang-kadang hampir mengantoikan mereka sendiri.

Namun, Puteri bijak menilai mereka dan dia memilih seorang dari mereka untuk dijadikan teman hidup.

Jadi, antara Saiful, Johan dan Nabil, siapakah yang paling hebat di mata Puteri? Semuanya akan terjawab di akhir cerita.
@sinarharian.com.my