Kes Anwar: Majlis Peguam harap AG tak rayu

Seorang-penyokong-Datuk-Seri-Anwar-Ibrahim-menangis-selepas-Ketua-Umum-Pakatan-Rakyat-dibebaskan.-Fo
KUALA LUMPUR - Majlis Peguam berharap Peguam Negara tidak akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebas dan melepaskan Ketua Umum Pakatan Rakyat daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
"Majlis Peguam berharap Peguam Negara tidak akan membuat rayuan dan sebaliknya akan memfokus sumber-sumber Jabatan Peguam Negara yang bernilai ke atas lebih banyak jenayah serius," kata Presidennya Lim Chee Wee dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam keputusannya yang dibacakan dalam masa kira-kira lima minit, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, beliau mendapati tidak ada bukti yang menyokong keterangan Mohd Saiful.
Katanya, mahkamah tidak dapat mensabitkan Anwar dengan pertuduhan itu semata-mata berdasarkan kepada keterangan Mohd Saiful.
Anwar, yang juga Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful, 26, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ini merupakan kes liwat kedua melibatkan beliau selepas didapati bersalah dan dihukum penjara sembilan tahun pada Ogos 2000 kerana meliwat pemandu, Azizan Abu Bakar.
Bagaimanapun, empat tahun selepas itu, beliau dibebaskan selepas Mahkamah Persekutuan menukar pensabitan itu kepada tidak bersalah dan mengetepikan hukuman penjara terhadapnya.
Dalam kenyataannya, Chee Wee juga berkata, tuduhan ke atas Anwar, yang bersandarkan pada Kanun Keseksaan, tidak sewajarnya dibawa sama sekali.
"Kes ini sama sekali telah membazirkan masa (sistem) kehakiman dan dana awam," katanya lagi.
@sinarharian.com.my