Pas bincang hasrat Hadi undur 12 Feb

Abdul Hadi Awang
SHAH ALAM - Pas pusat akan membincangkan hasrat Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) yang menawarkan diri untuk tidak bertanding lagi dalam pilihan raya umum, kata Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurut beliau, Abdul Hadi telah lama melahirkan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusinya demi memberi laluan kepada tenaga-tenaga muda dan pelapis.
"Hal itu telah lama disebut (oleh Hadi). Kita akan bincang hasrat beliau, kita akan bincang. Kami akan membincangkan hasrat beliau apabila mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat, bulan depan, pada 12 Februari," kata Tuan Ibrahim kepada Sinar Harian Online hari ini.
Abdul Hadi kini merupakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.
Walaupun Abdul Hadi melahirkan hasrat untuk berundur, menurut Tuan Ibrahim, Pas masih memerlukan "suara" beliau didengar di Parlimen.
"Berdasarkan keadaan kesihatan dan kemampuan beliau, kami merasakan suara Abdul Hadi perlu didengar di Parlimen, salah satu (kerusi untuk ditandingi) akan ditimbang" kata beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.
Dalam pertemuan dengan Sinar Harian semalam, Abdul Hadi membayangkan kemungkinan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.
“Sudah lebih 30 tahun saya bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu bermula pada 1982 dan sudah berbelas tahun sebagai Ahli Parlimen,” katanya.
Abdul Hadi berkata, sekiranya tidak bertanding mana-mana kerusi, beliau boleh bergerak ke seluruh negara untuk memantapkan parti.

Bagaimanapun, Adun Rhu dan Ahli Parlimen Marang ini menawarkan bertanding satu kerusi sahaja sekiranya dipilih sebagai calon dalam PRU13.
@sinarharian.com.my