Perang siber ke atas Israel

Perang siber ke atas Israel
TEL AVIV - Dua minggu selepas Israel dikejutkan dengan insiden pendedahan maklumat peribadi kad kredit 400,000 orang Yahudi, sekali lagi kumpulan penggodam berpangkalan di Arab Saudi, OxOmar melancarkan perang siber ke atas dua laman utama di negara itu.

Dua laman sesawang rasmi yang menjadi sasaran, kelmarin dan tidak dapat beroperasi selama beberapa jam adalah laman sesawang sistem penerbangan El Al dan laman Bursa Saham Tel Aviv (Tase).

Jurucakap Tase menyatakan serangan tersebut tidak menjejaskan sistem dagangan saham sebaliknya hanya melumpuhkan laman utama.

Minggu lalu, aktivis berpusat di Gaza turut melancarkan serangan siber ke atas laman sesawang timbalan menteri luar, Danny Ayalon dan laman Perkhidmatan Pemadam Kebakaran dan Penyelamat Israel sehingga menyebabkan operasi kedua-duanya tergendala.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, kerajaan memuji tindakan berani kumpulan penggodam tersebut dan menyifatkannya sebagai simbol kreativiti golongan pemuda di rantau Arab yang menyerang Israel secara senyap menggunakan kepakaran mereka.

Dalam satu mesej yang dihantar oleh OxOmar, mereka telah memberi amaran bahawa ia adalah permulaan perang siber ke atas Israel dan turut berikrar untuk membocorkan segala maklumat mengenai rejim Zionis pada masa akan datang.
@sinarharian.com.my