Pesanan Kim Swee



KIM SWEE (kanan) sentiasa mengingatkan para pemainnya agar memelihara disiplin di dalam dan di luar padang.


LUMRAH dalam kehidupan, si anak pastinya dirotan si bapa jika terlalu nakal dan sering membuat kesilapan.
Ia semata-mata mahu memastikan anak itu tidak hanyut dengan 'helah dunia' supaya berubah dan menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.
Pendek kata, yang baik dijadikan pedoman, manakala yang buruk pula dijadi- kan sempadan.
Demikian juga ceritanya dengan pengendali skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee yang jelas mahukan anak-anak buahnya mengekalkan disiplin tidak kira di dalam mahupun di luar padang.
Memiliki 'naluri' seorang bapa, sudah tentu Kim Swee mahu mana-mana pemain yang terlibat dengan sebarang kontroversi serta kurang berdisiplin sebelum ini supaya kembali 'membuka buku baharu' pada 2012.
"Saya percaya, kunci utama kejayaan pemain tidak kira apa jenis sukan pastinya terjamin jika mereka kekal berdisiplin serta sentiasa berusaha bersungguh-sungguh secara berterusan.
"Justeru, pemain harus sedar tanggungjawab masing-masing bagi mengharumkan nama negara kerana perjalanan kita masih panjang, tambahan pula bukan mudah kita mahu dimaafkan orang ramai jika pernah melakukan kesilapan," katanya kepada Kosmo! semalam.
Semalam, seramai 29 pelatih Harimau Muda kembali berkumpul menjalani latihan seperti biasa di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil setelah sekian lama 'beristi- rehat' sebaik tamat siri ujian persahabatan di bumi Australia pada pertengahan Disember lepas.
Selain pemain lama seperti Mahali Jasuli, Izzaq Farris Ramlan, Mohamad Fadhli Mohd. Shas,Wan Zack Haikal Wan Nor, A. Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim, Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, beberapa muka baharu juga mendapat kepercayaan Kim Swee kali ini bagi memberikan cabaran dalam saingan Liga Singapura (Liga-S) bulan depan termasuklah V. Kavichielvan, Mohd. Azizan Nordin, Nur Areef Kamaruddin dan Mohd. Firdaus Muhammad.
"Malah, saya menasihatkan pemain supaya menjaga kekuatan mental masing-masing serta tidak mudah tunduk dengan tekanan dalam mana-mana perlawanan antarabangsa.
"Ia ekoran mana-mana pasukan terutamanya dari Asia Tenggara kini sudah tentu bersemangat untuk mengalahkan kita selepas meraih pingat emas temasya Sukan SEA baru-baru ini," kata Kim Swee.
Apa pun, cabaran Kim Swee itu pastinya harus 'dijawab' dengan penuh 'kejantanan' oleh anak-anak buahnya supaya kekal berdisiplin jika mahu cemerlang dalam Liga S nanti, selain mengekalkan fokus kepada sasaran jangka masa panjang termasuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar (2013) dan juga Sukan Asia di Korea Selatan pada 2014.
Jika gagal memelihara disiplin, maut mengundang.