Salleh Majid meninggal dunia




KUALA LUMPUR - Bekas Presiden, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) (kini Bursa Malaysia) Datuk Mohd. Salleh Abdul Majid meninggal dunia semalam akibat barah usus dan kegagalan buah pinggang.
Mohd. Salleh, 62, meninggal dunia kira-kira 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur di sini.
Allahyarham menjadi Presiden BSKL pada 1996 dan bersara daripada badan itu pada 2003.
Menurut anggota keluarga, jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke rumah ibunya di Kampung Pasir, Hulu Klang dan dikebumikan kira-kira pukul 5.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ar-Ridhuan, Hulu Klang.
Antara yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.
Memperoleh Master of Business Administration daripada Northern Illinois University, Amerika Syarikat sekitar 1971, Mohd. Salleh memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Pengurusan, Institut Teknologi Mara.