Seorang lagi kanak-kanak dikurung

Lagi kanak-kanak didera
GEORGETOWN - Hanya kerana bermain dengan dompet, seorang kanak-kanak dipukul dan dikurung oleh bapa kandungnya selama beberapa jam.

Kanak-kanak perempuan itu dipercayai menangis lebih 10 jam selepas ditinggalkan seorang diri di rumah mereka di Jelutong kira-kira jam 11.45 malam kelmarin.

Keadaan itu mengejutkan jiran yang bertindak menghubungi polis.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, dia mendengar kanak-kanak ber-umur enam tahun itu menangis dan sesekali meminta tolong dari jam 3 petang kelmarin hingga awal pagi semalam.

“Saya menghubungi polis pagi tadi (semalam) selepas mendapati kanak-kanak itu menangis tidak berhenti,” katanya.

Sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bergegas ke tempat kejadian setelah menerima laporannya.

“Polis mengambil masa hampir sete­ngah jam untuk masuk ke rumah berkenaan kerana ia berkunci. Selepas mendapat bantuan daripada jiran, polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu yang berada dalam keadaan trauma kerana ditinggalkan seorang diri,” katanya.

Menurutnya, beberapa jiran menye­dari bapa kanak-kanak itu pulang ke kawasan perumahan berkenaan, tetapi melarikan diri selepas ternampak polis di rumahnya.

“Berdasarkan maklumat ibu mangsa yang berusia 40 tahun, anaknya dijaga oleh suami kerana ketika itu dia keluar bekerja.

“Anaknya dipukul dengan tangan ke­rana bermain dengan dompet bapanya,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan pemeriksaan awal mendapati kesan luka baru dan lebam lama di tangan, badan dan kakinya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, polis sedang mengesan bapa kanak-kanak terbabit yang berumur 49 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap bagi membantu siasatan.

“Suspek sedang dikesan di sekitar Jelutong,” katanya.

Kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kanak-kanak itu mungkin didera.
@sinarharian.com.my