Tergamak ancam mak

ugutmak
KUALA TERENGGANU- Hanya kerana inginkan wang dengan cara mudah, seorang anak sanggup mengancam ibunya sendiri untuk membakar rumah dan pakaian jika kemahuannya gagal dituruti.

Bagaimanapun, tertuduh iaitu Muhamad Abdul Izzat Al-Salam Abd Rashid, 21, menerima balasan setimpal apabila didenda sebanyak RM3,000 atau dikenakan penjara tiga bulan jika gagal membayarnya oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan ugutan jenayah antara tarikh 17 Januari kira-kira jam 7.30 pagi hingga 20 Januari kira-kira jam 5.20 pagi di Kampung Gong Kiat, di sini.

Tertuduh didakwa mengancam hendak membakar pakaian dan rumah serta mengugut untuk membunuh dengan niat menyebabkan rasa cemas.

Dengan itu, dia didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebaik pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.

Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu ibu tertuduh, Aida Zaina Abd Rahmad, 45, dari Kampung Gong Kiat telah meninggalkan rumahnya dalam keadaan baik pada 17 Januari lalu kira-kira jam 7.30 pagi kerana ingin pergi ke rumah kawannya di Kuala Ibai.

Bagaimanapun pada keesokannya iaitu kira-kira jam 10.30 malam, tertuduh telah menghantar mesej kepada pengadu berbaur ugutan seperti akan membakar baju kerja dan bakar rumah jika pengadu tidak balik ke rumah dan beri wang kepadanya.

Kira-kira jam tujuh malam pada 19 Januari, pengadu pulang ke rumah dan mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak manakala tertuduh berada dalam keadaan biasa. Bagaimanapun kira-kira jam 9.30 malam, tertuduh telah mengamuk hendak wang dan ibunya telah
memberi RM50 kerana takut terjadi apa-apa yang tidak diingini berlaku kepadanya.

Sepasukan polis dari Balai Chabang Tiga kemudiannya menyerbu kediaman tertuduh pada 20 Januari lalu, kira-kira jam enam pagi dan menahannya.

Hasil saringan awal ujian urin mendapati, tertuduh didapati positif methamphetamine.
@sinarharian.com.my
CC : hmmm apa dah jadik dengan anak2 sekarang nih......?? SubhanaAllah...