Akta Murtad: Cadangan wajar dibincang Majlis Raja-Raja

Abd Rahman Palil
SHAH ALAM – Cadangan penguatkuasaan Akta Murtad oleh Himpunan Sejuta Umat (Himpun) wajar dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Raja-Raja dalam usaha menyelamatkan akidah umat Islam di negara ini. 
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abd Rahman Palil berkata, beliau amat menyokong usaha Himpun yang bakal menghantar resolusi kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, April ini.
Menurutnya, melihat kepada laman sosial yang menyokong murtad dan mendorong umat Islam ke arah itu, sememangnya akta tersebut perlu diberikan perhatian oleh semua ketua agama Islam setiap negeri.
“Kalau itu resolusinya untuk hantar memorandum kepada Agong, ia wajar dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja selaku ketua agama Islam setiap negeri. Saya amat setuju sebelum nasi jadi bubur. Apatah lagi hari ini dunia maya tanpa sempadan segala-galanya bebas, yang haram jadi halal,” katanya.
Abdul Rahman berkata, undang-undang murtad yang ada di setiap negeri perlu diperjelaskan kepada orang Islam secara terperinci agar umat Islam lebih faham bagi mengelakkan kes-kes sebegini berlaku.
Beliau berkata, penguatkuasaan jabatan agama Islam setiap negeri juga sangat penting kerana sebagai sebuah negara Islam, penguatkuasaan adalah hak orang Islam selagi mana ia tidak menyentuh hak agama lain.

@sinarharian.com.my