Bapa Wan Manisah: 'Apa salah anak saya?'

Bapa Wan Manisah:  'Apa salah dia?'
Bapa Wan Manisah:  'Apa salah dia?'
KUALA TERENGGANU - Bapa kepada seorang pembantu kedai yang maut ditikam malam tadi kebingungan ingin tahu apa salah-silap anaknya sehingga  anaknya menjadi sasaran tikaman seorang lelaki.

"Kenapa buat anak saya macam ini, apa salah dia?" demikian rintihan Wan Mansor Wan Muda, 50.

Katanya anak sulungnya itu, Wan Manisah, 27, seorang yang baik dan anaknya tidak bermusuh dengan sesiapa.

Wan Mansor yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) jelas sugul dan terkejut dengan kejadian yang menimpa kakak kepada 12 beradik itu sehingga mengasingkan diri daripada anggota keluarga yang lain.

Ibu mangsa, Noorainie Yusof, 45, berkata kali terakhir dia bercakap dengan anaknya yang lebih mesra dengan paggilan Kak Long itu kira-kira pukul 5 petang semalam semasa mangsa menghubunginya untuk memberitahu tidak dapat pulang hari ini tanpa memberikan sebarang alasan.

"Semalam Kak Long menelefon dan memaklumkan tidak jadi balik ke kampung di Durian Mas, Dungun dan memberitahu tidak perlu menjemputnya namun dia tak beritahu kenapa dia tak dapat balik," katanya.

Noorainie tidak menyangka itu adalah perbualan terakhir dan petanda Wan Manisah akan meninggalkan mereka semua buat selama-lamanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Wan Manisah ditikam seorang lelaki tidak dikenali yang dipercayai kurang siuman ketika sedang berbual bersama tiga rakannya di kedai kain yang terletak di Jalan Kampung Daik di sini.
Mangsa dikatakan menegah lelaki itu yang meluru masuk untuk ke tingkat kedai menyebabkan lelaki itu berang lalu bertindak memeluk mangsa dari belakang sebelum memukul dan menikam belakang Wan Manisah.

Lelaki itu turut menyeret mangsa kira-kira lima meter ke bahagian dalam, namun mangsa berjaya melarikan diri ke belakang kedai sebelum pengsan. Mangsa disahkan meninggal dunia pukul 2.05 pagi ini ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ.
@sinarharian.com.my