Bunuh sahabat sendiri

Bunuh sahabat sendiri
MELAKA - Gara-gara berada di bawah pengaruh alkohol, seorang bapa terpaksa meringkuk dalam penjara selama 10 tahun selepas didakwa membunuh seorang rakan baik di sebuah pusat hiburan di Perak, tujuh tahun lalu.

Lim Hock, 50-an, ketika ditemui pada Program Jalinan Kasih Peringkat Kompleks Penjara, Sungai Udang, di sini, ternyata kesal dengan kejadian yang berlaku dan tidak menjangka rakan karib maut dalam tangannya sendiri.

“Ketika sedang bersuka ria di pusat hiburan karaoke, berlaku sedikit perselisihan faham lalu menyebabkan saya bertindak membaling kerusi dan peralatan lain ke arah sahabat saya itu.
“Saya gagal mengingat semula punca pergaduhan walaupun bukan niat saya untuk melakukannya.

“Namun sebaik tersedar daripada mabuk, saya hanya mampu mengingati bahawa saya memukul seorang lelaki tetapi tidak menyedari apa yang berlaku selepas itu malah tidak ingat siapa yang menghantar saya pulang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, dia yang menyangka tiada perkara buruk menimpa dirinya bagai­manapun terkejut dengan kehadiran polis ke rumahnya seminggu selepas kejadian.

“Dalam keadaan ibarat lembu dicucuk hidung, saya hanya mampu menurut arahan polis. Saya juga tidak berupaya menafikan kejadian yang berlaku, malah masih bersarang rasa bersalah terhadap keluarga rakan baik saya itu,” katanya.

Dia yang dahulunya menjalankan perniagaan barangan basah di Teluk Intan mempunyai seorang isteri serta dua anak perempuan berusia 18 dan 20 tahun yang masih setia me­nunggu kebebasannya.

“Setiap kali menerima kehadiran mereka di sini, hati saya sayu dan menyesal kerana bertindak mengikut emosi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Katanya, dia yang akan dibebaskan pada 2014 tidak sabar untuk kembali membina kehidupan bersama keluarga dan berjanji tidak akan membiarkan dirinya hanyut di bawah pengaruh alkohol.

Isterinya, 50, yang ditemui sama dalam program itu, tidak menafikan keperitan selepas suaminya itu ditahan dan meringkuk dalam penjara.

“Selepas kejadian, kehidupan saya dan anak-anak berubah suram. Sebelum ini suami yang berperwatakan ceria dan gemar bergurau sentiasa menyerikan rumah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kompleks Penjara Sungai Udang, Asisten Komisioner Ahmad Sa’idi Hamzah, berkata, beliau berharap kehadiran ahli keluarga banduan di situ dapat memberi sokongan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan pada masa akan datang.
@sinarharian.com.my