KOTA BHARU 20 Dis. – Kompleks Arked Perbadanan di Jalan Tengku Petra Semerak dekat sini sering menjadi tumpuan mereka yang ingin mendapatkan pelbagai jenis cincin untuk dipakai atau dihadiahkan kepada orang tersayang.
Terdapat banyak lot kedai yang menawarkan pelbagai bentuk cincin kepada para penggemar dalam pelbagai bentuk, warna dan harga, dan sebut sahaja apa kemahuan anda, hampir semuanya boleh didapati di situ.
Bagi yang mempunyai batu permata dan ingin mempunyai cincin unik dengan rekaan tersendiri, tukang-tukang cincin yang ramai terdapat di sini sedia mereka bentuk cincin mengikut cita rasa pelanggan selepas rundingan dan kata putus mengenai harga dicapai.
Namun, dalam banyak lot kedai itu, sama ada disedari atau tidak, terdapat sebuah kedai di tingkat bawah arked tersebut yang diusahakan oleh seorang bekas anggota tentera menghasilkan pelbagai bentuk cincin dan mencanai batu permata.
Berasal dari Kampung Taman Seri Permai, Binjai dekat sini, Mohd. Fatzeli Abdullah, 44, mula mencipta nama sebagai tukang canai batu permata di bandar ini.
Sebut sahaja jenis batu dan batu permata yang ada, bapa kepada tujuh orang anak berusia antara lima hingga 27 tahun ini sedia untuk mencanainya sama ada dijadikan sebagai loket, batu cincin dan sebagainya.
Sememangnya, nama-nama batu seperti batu akik, batu bukit atau quartz, delima, zamrud, batu fosil kayu, batu serai sememangnya tidak asing bagi Mohd. Fatzeli dan penggemar batu perhiasan.
Bagaimanapun, hakikatnya, seketul batu permata itu menjadi lebih bernilai sehingga mencecah jutaan ringgit apabila dicanai dijadikan perhiasan sama ada cincin, loket dan sebagainya.
Nilainya pasti bertambah sekiranya batu tersebut disalut dengan emas.
“Tukang cincin ramai, tetapi tukang batu (mencanai batu permata) tak banyak sebab kerja ini lebih susah, rumit dan risiko juga tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Dengan berbekalkan modal sendiri sekitar RM500 termasuk kepandaian mencipta mesin membelah batu, pesara tentera itu sambil diselang-seli dengan siulan, nyanyian dan ada ketikanya mulut kumat-kamit membaca doa-doa tertentu, tekun membelah, memotong dan mencanai pelbagai jenis batu permata mengikut kehendak pelanggannya.
“Sehari saya mampu menghasilkan 10 biji batu permata, ikut permintaan,” akuinya yang memakai sebentuk cincin batu delima asli.
Menurut Mohd. Fatzeli, minatnya terhadap batu dan ukiran batu permata bermula semenjak berkhidmat dalam tentera lagi, seterusnya mengembangkan kemahiran tersebut sebaik sahaja bersara selepas 21 tahun berkhidmat untuk negara.
Minat tersebut didorong oleh keunikan rupa bentuk batu-batu permata yang ditemui, belum kira batu-batu permata yang diperoleh dari luar negara seperti Brazil, China, Sri Lanka, India dan banyak lagi.
Malah, dia sendiri ada ketikanya meredah hutan dan bukit-bukau untuk mencari batu-batu permata sesuai bagi dijadikan cincin, misalnya, Gunung Tebu di Terengganu, Temangan di Macang-Tanah Merah, Bukit Pelanduk dan Bukit Yong di Pasir Puteh, Kelantan.
Mengambil kira latar belakang batu-batu permata yang dibawa oleh pelanggan tidak diketahui asal-usulnya itulah, maka ada ketikanya dia ibarat ‘orang kurang siuman’ apabila ada ketikanya ‘bercakap-cakap’ sendirian dengan batu-batu yang hendak dicanai, selain membaca doa-doa tertentu memohon dijauhkan daripada sebarang perkara buruk.
“Ada batu ini ‘hidup’ dia berubah warna, ” jelasnya.
Sepanjang terlibat dalam profesion tersebut, Mohd. Fatzeli mengakui turut mengalami ‘peristiwa’ luar biasa apabila pernah suatu hari tidak ada pengunjung yang masuk atau menjenguk ke kedainya.
“Ia berlaku selepas seorang pelanggan tetap membawa batu untuk dicanai, tetapi saya tak tanya dia dari mana dapat batu itu. Kata orang, batu ada ‘penjaga.’ Ada juga masa buat (canai batu) rasa panas dan tangan pedih macam kena cili.
“Sebab itu, dalam hati saya selalu berdoa dan baca Bismillah, minta jauh daripada sebarang bala bencana kerana tugas saya nak laksana apa orang minta, kena ada budi bahasa walau tak nampak,” akuinya.
Mohd. Fatzeli mengakui, pekerjaan yang diceburinya itu turut menuntutnya supaya mempunyai pengetahuan mengenai batu-batu permata sama ada yang berasal dari dalam mahu pun luar negara dan itu dilakukan melalui pembacaan.
“Batu-batu (permata) di Malaysia belum matang lagi, kekerasannya tidak tinggi contoh zamrud minyak tak sehebat zamrud dari Colombia, Brazil misalnya yang telah matang dan mahal,” katanya.
Menurutnya, batu-batu permata yang tidak dipakai seeloknya disimpan di tempat yang basah bagi mengelakkannya pecah seterusnya mengekalkan kualiti batu berkenaan.
Selain terlibat dalam mencanai batu-batu permata, kedai Mohd. Fatzeli turut menyimpan pelbagai barangan lama seperti mangkuk, keris, duit siling, wang kertas dalam dan luar negara yang sebahagiannya ‘dicari’ oleh penggemarnya untuk pelbagai tujuan.
Antaranya wang kertas Indonesia ‘istimewa’ bernilai Rp1,000 memaparkan wajah bekas presiden republik itu, Sukarno, yang bergulung sendiri apabila diletakkan di atas tapak tangan dan dibacakan Bismillah secara berulang kali.
Justeru, tidak salah jika dikatakan kedai beliau itu sebenarnya ‘menyimpan’ seribu satu rahsia dan mungkin beliau sendiri tidak tahu peristiwa di sebalik ‘misteri’ yang ada.
Dipetik dari Utusan Malaysia
Di Melaka kita ada Cardova Creative! Datanglah ke kedai kami di dataran pahlawan, melaka! Pasti anda teruja dengan ratusan koleksi cincin dan batu permata yang terdapat di sini! Harga boleh runding! insyaAllah