Kejar lelaki berpistol


KUALA SELANGOR: “Dalam fikiran, saya hanya fikirkan komputer riba yang mengandungi pelbagai tugasan yang perlu dihantar kepada pensyarah kerana saya akan memulakan semula pengajian esok (hari ini) selepas tamat cuti Thaipusam.

“Jadi selepas berjaya lepaskan diri dari ikatan wayar komputer riba, tanpa berfikir panjang saya terus menunggang motosikal dalam keadaan gelap untuk mengejar suspek yang menyamun saya sekeluarga dan mendapatkan semula komputer riba saya tanpa mengetahui suspek memiliki pistol. 

“Bagaimanapun di pertengahan jalan, saya berjumpa beberapa anggota polis yang mengarahkan saya berpatah balik dan terpaksa pulang semula ke rumah tanpa komputer riba itu,” kata Mohd Aminudin Abd Rahim, 20, mangsa samun di Jalan Berkat, Kampung Parit Mahang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, tiga daripada empat suspek dipercayai warga Indonesia ditembak mati selepas berlaku adegan tembak-menembak dengan sepasukan polis dalam ladang kelapa sawit di Jalan Parit Mahang beberapa minit menyamun rumah mangsa.

Menceritakan semula kejadian, Mohd Aminudin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila suspek dipercayai masuk melalui lubang di bahagian atas tandas dan dia serta adiknya yang sedang tidur dikejutkan seorang lelaki sambil memegang parang.

@hmetro.com.my