Premis nasi kandar rugi lebih RM10,000 diserang samseng

Cermin almari meletak makanan pecah dipukul dengan topi keledar oleh penyerang
GEORGE TOWN - Pemilik sebuah kedai nasi kandar di Jalan Penang di sini, mendakwa kerugian lebih RM10,000 apabila peralatan restoran dirosakkan dua lelaki dalam kejadian awal pagi tadi.

Pengurus Restoren Yasmeen, Abdul Latif Thulkarunai berkata kejadian berlaku 6.30 pagi apabila premis itu didatangi dua lelaki tidak dikenali yang mahu berjumpa dengannya.

"Setelah pekerja saya memberitahu pengurus tiada dalam kedai, mereka marah dan terus memecahkan almari kaca dengan topi keledar tanpa sebarang sebab," katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Latif yang mendakwa insiden itu bermotifkan iri hati, juga berkata menerima ugutan lisan daripada seorang lelaki dua minggu lepas yang mahu beliau menutup restorannya.

"Saya percaya serangan ini ada kaitan dengannya," katanya.

Katanya beliau telah membuat laporan polis, serta menyerahkan pita rakaman kamera litar tertutup kepada polis untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes itu dan siasatan sedang dijalankan.- Bernama