Sekarang ini hari-hari kebesaran Islam bagai tidak diendah langsung atau kalau disambut sekalipun hanya ala kadar saja oleh segelintir umat Islam. Tetapi kalau Hari Valentine, macam-macam agenda dibuat oleh pasangan muslim semata-mata untuk menambat hati kekasih masing-masing kononnya nak tunjuk merekalah insan paling romantik bila bercinta. Yang paling menyedihkan lagi, Hari Valentine turut disambut dengan bangganya oleh pasangan-pasangan pengamal seks sejenis.
Melalui dakyah pluralisma, umat Islam didoktrinkan bahawa sambutan Hari Valentine tidak menyalahi syariat Islam selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur pemujaan dan maksiat. Ia hanya hari istimewa untuk pasangan kekasih bertemu dan menyatakan perasaan kasih sayang terhadap pasangan masing-masing.
Untuk menghalalkan lagi sambutan hari musyrik tersebut, sambutan hari kekasih ini turut diraikan bersama ahli keluarga, suami isteri, adik beradik dan pemimpin yang disanjung. Paling tidak pun acara bertukar-tukar bunga, hadiah, coklat dan kek dilakukan bagi memeriahkan hari tersebut. Seringkali batas halal haram dilanggar atas alasan tidak apa sekali sekala dan kita boleh bertaubat secara berkala. Sesungguhnya penyongsangan minda dan akidah secara halus ini wajib dicegah dan ditegah dari terus berleluasa.
Sambutan Hari Valentine tetap haram di sisi Islam kerana ia tidak pernah disambut oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Tambahan lagi, ia secara terang-terangan membawa budaya kuffar yang wajib dijauhi oleh umat Islam kerana terdapatnya unsur-unsur kristian yang bertentangan dengan syariat Islam di dalam sejarah sambutan hari tersebut.
Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 telah memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam.”
Terdapat empat versi Kristian berkenaan sambutan Hari Valentine. Versi pertama menyatakan Hari Valentine disambut bertujuan memperingati seorang paderi kristian bernama Pedro Saint Valentino. Beliau seorang paderi kristian yang aktif menyebarkan agama kristian sehingga beliau ditangkap dan dihukum penjara oleh Maharaja Rome; Cladius II (268-270 masihi) yang masih mengamalkan penyembahan berhala. Namun sepanjang hukuman beliau tetap menyebarkan dakwah kristian kepada para banduan sehingga dianggap sebagai Nabi Isa oleh para pengikutnya.
Semasa dalam tahanan, beliau telah bercinta dengan anak seorang pegawai penjara. Ini telah menimbulkan kemarahan Maharaja Cladius II dan St Valentino dihukum bunuh. Sebelum dibunuh beliau sempat menulis surat cinta kepada kekasihnya dengan tanda tangan “From Your Valentine”. Sejak peristiwa itu masyarakat kristian meraikan hari kasih sayang setiap 14 Februari sempena memperingati hari kematian paderi kesayangan mereka;St.Valentine.
Potret St Valentino yang tetap menyebarkan kristian walaupun dihukum penjara |
Versi kedua pula menyatakan St Valentine dibunuh Maharaja Rome ketika itu di bawah pemerintahan Raja Claudius II (268-270 masihi). Ini kerana beliau menentang titah baginda yang melarang semua majlis pertunangan dan perkahwinan di dalam wilayah Rome yang sedang dilanda banyak peperangan. Keengkaran St Valentine dan St Marius mengahwinkan ramai pasangan kristian secara rahsia menyebabkan baginda murka dan menghukum pancung St Valentine pada 14 Februari 270 Masihi. Bagi memperingati mendiang sebagai simbol keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi seksaan kerajaan Rome, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St Valentine dan dijalankan sebagai upacara keagamaan.
St Valentine – peranannya menjatuhkan kekhalifahan bani Ummayah di Sepanyol diraikan setiap 14 Februari |
Manakala versi ketiga pula menyatakan Hari Valentine disambut setiap 14 Februari bagi meraikan kejatuhan pemerintahan Islam Andalusia di Cardova, Sepanyol. Kejatuhan pemerintahan Islam Bani Ummayah di Cardova berkait rapat dengan peranan seorang paderi kristian bernama St Valentine. Beliau berperanan sebagai seorang perisik yang bermuka-muka dengan pemimpin Islam dalam masa yang sama menghasut dan membangkitkan semangat kebencian masyarakat kristian terhadap pemerintahan khalifah Islam.
Peranan talam dua muka St Valentine amat disanjung oleh Ratu Isabella dan dengan jasanya itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. Tanggal 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.
Ada juga berpendapat menyatakan Hari Valentine disambut apabila St Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal Protestan selepas kejatuhan kerajaan Islam Sepanyol, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St Valentine adalah seorang paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi diharamkan berkahwin. Tindakan St Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.
Perayaan Lupercalia moden yang dipenuhi pesta seks disambut sehari selepas Hari Valentine di Barat |
Versi keempat pula menyatakan 14 Februari dipilih berdasarkan hari cuti bagi orang Juno, iaitu Ratu kepada dewa-dewi Rome ketika pemerintahan para maharaja Rome kuno. Pada hari berikutnya iaitu 15 Februari akan bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisional masyarakat Rome di mana malam pesta berkenaan, nama gadis-gadis Rome ditulis atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung dan gadis-gadis ini boleh mengadakan hubungan seks dengan jejaka-jejaka tersebut.
Bagi tentera Rome di perbatasan pula, mereka meraikan Pesta Lupercalia ini dengan memilih pasangan sejenis untuk melampias nafsu masing-masing. Malah adakalanya askar-askar yang mabuk berpesta ini akan melakukan seks dengan binatang seperti kambing dan anjing yang diikat. Nauzubillah!
Versi-versi sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine sebenarnya adalah perayaan keagamaan yang disambut masyarakat Kristian dan musyrik. Justeru mengapa umat Islam begitu ghairah sangat nak sambut perayaan tersebut. Hari Krismas dan Sambutan Tahun Baru pun kadangkala umat Islam yang terlebih ghairah nak sambut, tapi kalau bab puasa, solat tarawih, berdoa awal dan akhir tahun sempena Maal Hijrah langsung tak ambil peduli! I
Rasulullah s.a.w pernah berpesan: “Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari amalan kami maka ia akan ditolak” (Riwayah Bukhari dan Muslim)
Sementara itu, di dalam laman web Spiritrestoration.org: The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah tajuk Pengertian Hari-Hari Suci Keagamaan – indeks Saint Valentine’s Day ada menyebut bahawa perayaan kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian. St Valentine adalah seorang syahid pada abad ketiga. Pada hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di Amerika Syarikat sebagai perayaan cinta di zaman sekular.
Sementara itu termaktub dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa juga versi berkenaan dengan St Valentine, kesemua mereka dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut: ‘sekurang-kurangnya ada tiga orang St Valentine yang berbeza, semua mereka adalah syahid, ia disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.’
Nabi juga pernah bersabda; Daripada Abu Sa’id al Khudri RA, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan? Nabi SAW menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Riwayat Muslim)
Bayangkan kalau ada umat Islam turut meraikan Hari Valentine, sudah tentu ia menandakan kita sendiri merayakan kejatuhan agama Islam itu sendiri. Cukup-cukuplah kalimah Allah telah digadaikan kepada golongan ini, adakah iman dan akidah juga kita mahu gadaikan kerana ingin menjaga hati mereka agar mereka akan tertarbiyah dengan toleransi kita. Berapa ramai lagi anak-anak umat Islam yang hendak dimurtadkan dengan cara halus ini. Jangan bila umat Islam bertindak mencegah anak-anak Muslim dari terkulai akibat nafsu di malam Valentine Day’s nanti kafir harbi DAP dan munafiq PKR kata Jabatan Agama rasis dan mencabul kebebasan seksualiti pulak, bila ramai anak haram yang lahir 9 bulan nanti, PAS nak salahkan UMNO/BN jugak ker? Bertindaklah bersama demi agama jangan tahu menyalak sahaja!
@mymassa.blogspot.com