Jabatan Mufti Johor: Seminar akidah Islam tiada niat singgung agama lain

31 Mac 2012
JOHOR BAHRU - Seminar mengenai akidah Islam anjuran Jabatan Pelajaran Johor dan Jabatan Mufti Johor hari ini tiada niat untuk menyinggung atau memburukkan agama lain seperti didakwa oleh sesetengah pihak, kata Ketua Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Johor Suhaimi Rebu.

Beliau berkata, seminar itu sebenarnya bertujuan untuk memberi pendedahan kepada guru Pendidikan Islam tentang kepentingan menjaga akidah generasi muda beragama Islam.

"Tujuan kita adalah mendidik dan memberi penerangan tentang bahayanya jika orang Islam tidak peka dengan kepentingan menjaga akidah Islam," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas seminar berkenaan di Dewan Seminar Jabatan Pelajaran Johor, di sini hari ini.

Sebelum ini, seminar itu mencetuskan isu apabila sebuah portal menyiarkan kenyataan Moderator Belia Majlis Gereja Malaysia (CCM), Chrisanne Chin yang mempertikaikan penganjuran program tersebut kerana didakwa menimbulkan perasaan kurang senang komuniti Kristian di negara ini. – Bernama