Pelacur mengandung dicekup

Pelacur
PELABUHAN KLANG – Seorang pelacur yang me­ngandung dua bulan antara enam wanita warga Vietnam yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat pelacuran di Jalan Pokok Sakat, Teluk Gadong, Pandamaran, ­semalam.

Dalam serbuan jam 12.05 tengah malam itu, polis dari Jabatan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor menyerbu sebuah rumah teres yang dijadikan sebagai pusat ­pelacuran.

Pegawai Pengawasan D7, Asisten Superintendan Adzli Abu Shah berkata, intipan dibuat selama dua jam selepas polis mendapat aduan daripada penduduk se­tempat.

“Ketika pintu dibuka, terdapat enam perempuan warga Vietnam berpakaian seksi sedang bersiap memberi perkhidmatan.

“Mereka tinggal di sini. Siasatan mendapati mereka menyediakan khidmat urut dengan bayaran RM80 sejam dan mengenakan bayaran lain sekiranya pelanggan mahukan khidmat ekstra,” katanya kepada Sinar Ha­rian, semalam.

Menurutnya, rumah teres berkenaan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan mempunyai empat bilik di mana sebuah bilik dijadikan tempat melanggan pelacur.

Beliau berkata, dua lelaki tempatan dipercayai penjaga premis, berusia 34 dan 35 tahun, turut ditahan.

“Siasatan mendapati, seorang daripada penjaga premis itu adalah suspek dikehendaki kerana disyaki mempunyai kaitan kes pembunuhan di Pandamaran pada 2006,” katanya.

Adzli berkata, tiga daripada wanita itu memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial, manakala tiga lagi tidak memiliki do­kumen.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barang seperti alat pelincir, minyak urut dan tilam.

Katanya, siasatan menda­pati kegiatan pelacuran ini aktif sejak sebulan lalu dan sindiket menyewa rumah berkenaan pada harga RM1,200 sebulan.
@sinarharian.com.my