Penyenaraian FGVH terus dibantah
RUWAIDA MD ZAIN
29 Mac 2012
Suhaimi Said
SHAH ALAM – Langkah kerajaan mahu menyenaraikan Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia terus mendapat tentangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlatarbelakangkan anak dan keluarga Felda di seluruh negara.

Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said berkata, penyenaraian tersebut didakwa merugikan golongan peneroka serta generasi kedua dan ketiga dalam jangka masa panjang.

“Felda sudah tiada peruntukan daripada kerajaan tetapi yang ada sekarang ini melalui outfit Felda sendiri seperti Felda Plantation dan Felda Holding. Melalui outfit ini, sebanyak RM2.4 bilion setiap tahun diperuntukkan kepada Felda dan hasilnya Felda boleh memberikan berbagai imbuhan kepada peneroka dari sudut kos pentadbiran, pembangunan, penanaman semula,” katanya pada satu sidang media, semalam.

Suhaimi berkata, sebahagian usaha membantah penyenaraian tersebut, satu ceramah bertajuk ‘Bantah Penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia’ akan diadakan malam ini di Kompleks Belia dan Sukan Seksyen 15, Bandar Baru Bangi.

Selain itu, satu perhimpunan bagi menyatakan pendirian Pakatan Rakyat (PR) dan NGO yang menentang akan diadakan di Putrajaya, esok.

Sementara itu, Presiden Warga Felda Prihatin, Muhamad Kamel Yassin pula menolak penyenaraian tersebut kerana tidak mahu melihat kesukaran hidup warga Felda seperti apa yang berlaku selepas penjualan tanah Felda Sendayan dan Felda LBJ.

“Saya mengambil iktibar apa yang berlaku di Sendayan, lihat peneroka yang diambil tanahnya, keadaan mereka lebih teruk apabila ada yang terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Bagi Setiausaha Agung Pertubuhan Kemajuan dan Kebajikan Rakyat Selangor (Prorakyat), Mohd Naquib Carmeil Roseli berkata, penyenaraian tersebut bertentangan dengan matlamat asal penubuhan Felda.

Menurutnya, Prorakyat mengambil ketetapan akan bersama rakyat Selangor dan warga Felda menentang usaha menyenaraikan FGVH di Bursa Malaysia.

Sementara itu, Nasaie Ismail mewakili Anak pula mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak begitu berhajat meneruskannya dalam keadaan modal tidak mencukupi.

Malah, beliau menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin yang mementingkan imej dan diri sendiri berbanding menjaga aset negara dan rakyat walaupun mendapat tentang luar biasa termasuk warga Felda sendiri