Tragedi letupan bom di Takbai

Tragedi letupan bom di Takbai
TAKBAI, SELATAN THAILAND – Selepas Pekan Takbai di Selatan Thailand digegarkan dengan satu serangan letupan bom yang berlaku kelmarin, suasana sibuk bot berulang–alik di Pangkalan Perahu dan riuh rendah peniaga di pasar Pekan Takbai bertukar lengang.

Tiada lagi kedengaran riuh tawar menawar antara pelanggan dengan peniaga, begitu juga di Pangkalan Perahu lokasi berdekatan dengan letupan bom itu, aktiviti memunggah barang–barang untuk dibawa ke seberang Malaysia turut lengang.

Tinjauan Sinar Harian ke Pekan Takbai selepas 12 jam kejadian letupan bom berlaku, mendapati masih ada peniaga yang berniaga seperti biasa, walaupun dalam keadaan berjaga–jaga khuatir akan berulang tragedi letupan bom di pekan tersebut.


Berniaga seperti biasa

Seorang peniaga, Mariah Che Bung, 43, dari Pattani berkata, dia tetap membuka gerai buah–buahannya seperti biasa walaupun suasana di pekan Takbai ini masih tegang berikutan kejadian letupan bom kelmarin.

“Suasana lengang sedikit hari ini (semalam), tetapi kerana ini saja punca rezeki, saya tetap berniaga seperti biasa padahal masih lagi trauma dengan tragedi letupan bom,” katanya.

Ketika menceritakan detik–detik cemas kejadian letupan bom kelmarin, Mariah berkata, dia bersyukur kerana dia terselamat dalam kejadian letupan bom tersebut.

“Bom meletup di belakang gerai buah saya ini, nasib baik letupan menghala ke sungai kalau tidak tentu saya turut cedera,” katanya.

Menurutnya, selepas dia terdengar letupan kuat, dia terus meniarap di atas tanah dan hanya ingat mati sahaja ketika itu, bila suasana agak reda, baru dia bangun semula.

“Ketika itu kelihatan beberapa askar Thailand sudah rebah dan berlumuran darah, dalam letupan itu, seorang rakyat Thai mati,” katanya.

Bagi Abdul Latif Sulaiman, 60, berkata, dia tergamam seketika apabila terdengar satu letupan yang kuat di belakang gerai buah–buahannya itu.

“Saya diam seketika, panik sangat sehingga tak tau nak buat apa, selepas beberapa minit barulah saya melarikan diri mencari tempat selamat untuk berlindung,” katanya yang berniaga buah–buahan lebih 20 tahun.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak terkena serpihan bom itu serta gerai dan buah–buahannya juga terselamat.

Abdul Latif berkata, ini kali pertama berlaku letupan bom di pekan Takbai.


Seorang rakyat Malaysia cedera

Kelmarin, laporan sebuah akhbar mengatakan anggota pemisah disyaki meletupkan sebutir bom di sebuah pasar di wilayah selatan Thailand membunuh seorang orang awam rakyat Thailand dan mencederakan tujuh yang lain termasuk askar dan seorang rakyat Malaysia.

Dalam kejadian kira–kira jam 10.30 pagi (waktu Thailand) bahan letupan itu disembunyikan dalam pasu di pasar dekat sungai daerah Takbai tersebut.

Ketua Polis Tak Bai Pol Kol Nittinai Langyanai berkata, lima kilogram bom buatan sendiri diletupkan menggunakan satu walkie talkie semasa empat anggota tentera berehat di kawasan itu.

Rakyat Malaysia tersebut dikenali Fauzi Awang, 40, berasal dari Kampung Pengkalan Kubor, cedera ringan di lengan.