Hang Tuah
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka) bermula pada 1400-1511 A.D. )[1] Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampung Sungai Duyong, Melaka
kira-kira dalam tahun 1444 A.D. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala
ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi
hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang
di istana. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya
kepada Raja dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada
tolok bandingnya.
Hang Tuah dan empat orang kawannya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka.
Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato' Bendahara (iaitu
Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamuk. Dato'
Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke
rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana.
Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan hinggalah Hang Tuah mendapat gelar Laksamana. Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di tanah Jawa, Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari.
Dalam pertarungan itu Taming Sari, seorang pendekar yang kebal yang
tidak dapat dilukakan. Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada kerisnya. Oleh itu Hang Tuah berjaya merampas keris
berkenaan dan membunuh Taming Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan
oleh Betara Majapahit kepada Hang Tuah. Pemilik keris ini akan turut
menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.[perlu rujukan]
Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja
untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang,
Melor turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah. Melor telah ditawan
oleh Tun Ali atas hasutan Patih Karma Vijaya bagi dijadikan gundik Sultan.
Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya
dapat berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan
Hang Tuah itu. Melor dan Hang Tuah dihukum bunuh kerana difitnah berzina
dengan Melor yang telah menjadi gundik Sultan. Namun, hukuman mati
tidak dilaksanakan oleh Bendahara sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya
di sebuah hutan di Hulu Melaka.
Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana menggantikan
Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada Hang Jebat.
Hang Jebat sebagai sahabat karib Hang Tuah, menyangka bahawa Hang Tuah
telah teraniaya dan telah menjalani hukuman mati. Hang Jebat (menurut Hikayat Hang Tuah) atau Hang Kasturi (menurut Sejarah Melayu),
bertindak derhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana. Tidak ada
pendekar atau panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat (atau
Hang Kasturi) yang telah menjadi kebal kerana adanya keris Taming Sari di tangannya.
Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung di rumah
Bendahara. Pada masa itu baginda baru menyesal kerana membunuh Hang Tuah
yang tidak bersalah. Inilah masanya Bendahara memberitahu yang Hang
Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudiannya telah dipanggil pulang dan
dititahkan membunuh Hang Jebat. Setelah tujuh hari bertarung, Hang Tuah
akhirnya berjaya merampas semula Taming Sarinya daripada Hang Jebat dan
membunuhnya.
Dalam pertarungan yang sedih ini, Hang Jebat telah cuba membela
sahabatnya yang telah difitnah. Namun begitu, Hang Tuah telah membantu
sultan yang sebelum itu menghukumnya tanpa sebarang alasan. Sedangkan
Abu Bakar Siddiq R.A juga berkata kepada orang Muslim
bahawa jika dia bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya. Ternyata,
kesilapan Hang Tuah yang tidak berfikir bahawa Allah S.W.T lebih
berkuasa dari sultan dan memang tidak salah Hang Jebat cuba menegakkan
kebenaran. Tragedi ini masih menjadi perbalahan orang melayu sampai
sekarang.
Namun begitu, ada juga yang menyokong Hang Tuah. Ini kerana Hang Jebat bukan saja derhaka
kepada sultan bahkan telah membunuh ramai orang/rakyat Melaka yang
tidak berdosa dengan mengamuk di dalam istana dan seluruh Melaka.
Tindakan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat mungkin satu tindakan yang
berupa hukuman mati terhadap pembunuh.
Sumpah yang terkenal daripada Hang Tuah ialah "Tak Melayu hilang di dunia" yang bererti bangsa Melayu tidak akan punah di bumi ini.
[sunting] Hikayat Hang Tuah
"Hikayat Hang Tuah" merupakan sebuah cerita hikayat Melayu yang
menggambarkan dengan terperinci keadaan semasa sewaktu tersebut. Hikayat
Hang Tuah telah disifatkan oleh pengkaji sebagai menggambarkan tiga
zaman yang ditempuhi oleh bangsa Melayu iaitu zaman permulaan, zaman
kegemilangan, dan zaman kejatuhannya.
Terdapat pertelingkahan mengenai sama ada Hang Tuah benar-benar
wujud, ataupun hanya dongengan semata-mata. Ini disebabkan tempoh yang
dirangkumi dalam Hikayat Hang Tuah agak lama. Selain itu terdapat
pertelingkahan dalam beberapa kitab lain mengenai jalan cerita hikayat
Hang Tuah.
Masalah ini bukannya satu masalah yang besar dan merupakan satu perkara biasa bagi tokoh silam, sama seperti permasalahan tokoh Raja Arthur atau, tokoh Robin Hood dalam legenda Inggeris.